Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Dua rentung dalam kebakaran 16 rumah setinggan | Scoop

Dua rentung dalam kebakaran 16 rumah setinggan

Seorang daripada mangsa adalah warga tempatan, manakala seorang masih belum dapat dikenalpasti

7:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dua lelaki rentung dalam kebakaran membabitkan 16 rumah setinggan di Batu 4 ½ Jalan Klang Lama di sini, hari ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood.

Beliau berkata, seorang daripada mangsa adalah warga tempatan, manakala seorang masih belum dapat dikenalpasti.

“Pusat Kawalan Polis Kontinjen Kuala Lumpur menerima makluman mengenai kejadian kebakaran itu pada kira-kira jam 5.06 pagi.

“Bertindak atas maklumat, pihak IPD Brickfields bersama-sama pihak bomba dari Seputeh, Pantai, Hang Tuah, Sri Petaling, Taman Tun Dr Ismail, Keramat dan Hartamas sampai ke lokasi kejadian.

“Kira-kira jam 7.36 pagi, pihak bomba berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran tersebut,” katanya menerusi kenyataan.

Pasukan bomba dari Seputeh, Pantai, Hang Tuah, Sri Petaling, Taman Tun Dr Ismail, Keramat dan Hartamas bersama pihak polis Brickfields berjaya memadam kebakaran sepenuhnya kira-kira pukul 7.36 pagi. – Gambar ihsan PDRM, 3 Mac, 2024

Beliau berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati sebanyak 16 rumah setinggan terbakar.

“Pihak bomba menjumpai dua mangsa lelaki dalam keadaan rentung, sebelum kedua-dua mangsa dibawa ke Bahagian Forensik dan Patologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat,” katanya.

Ku Mashariman berkata, polis membuka kertas siasatan laporan mati mengejut (SDR) dan pihak forensik bomba meneruskan siasatan untuk mengenalpasti punca kebakaran.

“Pihak polis Brickfields menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan sesuatu berita yang tidak pasti.

“Maklumat berkenaan kes ini boleh disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Brickfields di talian 03- 22979222,” katanya. – 3 Mac, 2024.

Topics

 

Hangat

Related