KUALA LUMPUR – Sebuah majlis pernikahan di Indonesia kecoh seketika gara-gara sistem bunyi (sound system) disambar petir ketika hujan lebat, menyebabkan orang ramai bertempiaran melarikan diri.
Lebih malang, beberapa tetamu dilaporkan terkena renjatan elektrik dalam insiden di Desa Cangkring, Kecamatan Jenggawah, Kabupaten Jember pada Khamis lalu.
Difahamkan, kejadian itu turut tular di media sosial.
Ketua Dusun Cangkringbaru Desa Cangkring, Arif Arfianto berkata, petir menyambar tiang elektrik dan menyebabkan sistem bunyi dalam majlis itu terhenti ketika bacaan doa untuk acara nikah.
“Mujur tiada mangsa terkorban. Hanya bekalan elektrik terputus untuk tempoh agak lama. Pihak keluarga pengantin bagaimanapun bertindak menyelamatkan majlis dengan menggunakan generator,” katanya.
Menurutnya, beberapa tetamu yang berada di bawah khemah berhampiran tempat air bertakung panik dan ‘melarikan diri’ selepas merasai arus kecil elektrik pada kaki mereka.
“Disebabkan (kakinya) dalam air, dia juga terkena renjatan elektrik. Cuma tidak teruk dan saya sendiri turut terkena renjatan elektrik,” katanya. – 3 Mac, 2024