KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui sukar untuk meramalkan lagu mana yang bakal dinobatkan sebagai juara lagu dalam Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38), di Axiata Arena, Bukit Jalil esok.
Namun, Siti yang pernah menjadi juri AJL sebelum ini memberitahu, beliau mempunyai beberapa lagu pilihannya sendiri yang dilihat berpotensi untuk menjadi juara.
“Kalau saya melihat dari sudut populariti lagu, Sutera daripada Aisha Retno mempunyai potensi. Begitu juga dengan Biar Mati Rasa Itu (Aina Abdul), Astana (Ernie Zakri) dan Inilah Jalannya (Masdo). Bagi saya Masdo ada sesuatu.
“Apapun, juri-juri semuanya dah pilih lagu yang bakal juara. Cuma yang tinggal masa persembahan sahaja. Susah jugak nak cakap sebab kadangkala penjurian berbeza-beza,” katanya sewaktu ditemui di majlis pelancaran Kempen Infaq Ramadan: Semarak Cinta Ramadan Yayasan Nurjiwa di Locarasa, Bamboo Hills, hari ini.
Pada majlis ini, Siti bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa yang merupakan pengasas bersama Yayasan Nurjiwa telah mempelawa orang ramai untuk bersama-sama mengimarahkan budaya bersedekah.
Sehubungan itu, Yayasan Nurjiwa telah mengatur beberapa program khusus seperti bantuan kotak makanan kepada golongan asnaf, menganjurkan majlis iftar, menyediakan juadah berbuka puasa dan moreh di surau serta masjid.
Bahkan, Yayasan Nur Jiwa turut mengedarkan Al-Quran dan sejadah serta membantu membaik pulih kerosakan di masjid dan surau yang telah dikenal pasti bagi memastikan para jemaah beribadah dengan lebih selesa. – 2 Mac, 2023