Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Dukacita Sultan Selangor terhadap Hadi: Sidang DUN jadi ‘medan perang’ backbenchers, pembangkang | Scoop

Dukacita Sultan Selangor terhadap Hadi: Sidang DUN jadi ‘medan perang’ backbenchers, pembangkang

Ia bermula apabila ADUN Batu Tiga melahirkan rasa kecewa terhadap ADUN pembangkang yang tidak menyentuh apa dizahirkan Sultan Sharafuddin

5:43 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi sesi petang ini bertukar menjadi medan ‘perang mulut’ antara backbenchers dan pembangkang selepas seorang anggota dewan membangkitkan isu teguran serta rasa dukacita Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap kenyataan sinis Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah tuanku pada awalnya melahirkan rasa kecewa terhadap Adun pembangkang yang langsung tidak menyentuh isu tersebut yang dizahirkan oleh Sultan Selangor itu.

“Ia (kenyataan Presiden PAS) mengelirukan malah membawa kegelisahan dan menjurus kepada perpecahan umat Islam. Ini perkara serius dan perlu diambil berat ahli-ahli DUN,” katanya.

Belum pun habis berucap, Adun Seri Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi@Azmi bangkit memohon mencelah dan menegaskan surat Sultan Selangor itu dialamatkan kepada Adun Paya Jaras, Datuk Halim Tamuri yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor.

“Kita sering kata kita junjung titah tuanku tetapi hari ini apabila tuanku menitahkan sesuatu, ada pihak tertentu yang cuba menidakkan atau meremehkan titah tuanku. Setuju atau tidak, kepada yang menerima surat ini perlu memberikan penjelasan segera tentang isu ini?” Soalnya.

Danial kemudiannya mempersilakan Halim memberikan penjelasan terhadap persoalan dilontarkan Abbas itu.

Ketika memberikan respons berkenaan, Halim berkata, “Kita serahkan perkara ini kepada tuanku dan Presiden parti (Abdul Hadi)”.

Susulan itu, Danial berkata, apa yang dititahkan Sultan Selangor adalah baginda bersyukur dengan syiar Islam ditegakkan dengan pelbagai aktiviti mengimarahkan masjid dan surah.

“Maknanya yang pertama kita sudah tidak ada isu tentang masalah menegakkan Islam di negeri ini. Saya bawa perkara ini sebab kita nakkan perhatian seluruh masyarakat, seluruh rakyat negeri Selangor supaya mereka tahu sebenarnya bagaimana sikap PAS terhadap sultan dan bagaimana sikap mereka mengendalikan perkara seperti ini,” katanya.

Tidak berpuas hati dengan kenyataan itu, Adun Taman Medan, Afif Bahardin mengemukakan Peraturan Tetap 36(6) berhubung apa yang dikatakan Danial mengenai ‘sikap PAS terhadap sultan’.

“Kalau saya sebut DAP komunis dalam ini (sidang DUN) boleh? DAP komunis. Tak boleh. Ini sangkaan jahat. Apa yang Batu Tiga nak sampaikan? Saya nak dia tarik balik sebab dia kata ‘sikap PAS terhadap sultan’,” katanya sambil menarik perhatian beberapa wakil rakyat lain bangkit memberikan tekanan terhadap Danial.

Ia memaksa Timbalan Speaker, Mohd Kamri Kamaruddin meleraikan keadaan dan meminta Adun Batu Tiga memberikan penjelasan seperti diminta Afif.

Tegas Danial, “Saya sebut sikap dan saya minta (Adun) Paya Jaras (jawab). Kalau Paya Jaras tak nak bangun dan betulkan sikap itu, saya tiada masalah. Saya minta bangun dan apa pendirian Paya Jaras terhadap surat yang dikeluarkan oleh tuanku sultan, itu sahaja dan kemudian dia bangun tiada jawapan, sudahlah”.

Masih tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, Afif menegaskan apa yang dinyatakan Danial adalah satu tuduhan.

Penegasan Afif itu tidak diendahkan Timbalan Speaker yang kemudiannya membenarkan Batu Tiga meneruskan perbahasan.

Adun Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut bangkit mahu Mohd Kamri memberi peringatan kepada backbenchers supaya tidak membuat tohmahan kepada Adun Perikatan Nasional (PN).

“Apa yang disebutkan Batu Tiga itu surat perbualan antara istana dan seorang individu. Mengapa harus menggunakan dewan ini untuk menimbulkan provokasi? Peringatan harus diberikan kepada yang selalu membuat provokasi,” katanya.

Terdahulu Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi pada 20 Februari lalu bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli Parlimen, Adun dan raja-raja Melayu.

Susulan itu, baginda berkenan mengutus sepucuk surat kepada Abdul Hadi menerusi Pesuruhjaya PAS Selangor.

Antara intipati surat berkenaan, baginda menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari 2024. – 29 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Related