KUALA LUMPUR – Raja Norway, Raja Harald V dimasukkan ke sebuah hospital di Langkawi kerana mengalami jangkitan ketika bercuti di Malaysia, kata keluarga diraja Norway, semalam.
Raja berusia 87 tahun itu sedang dalam lawatan peribadi ke negara Asia Tenggara itu.
“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja telah jatuh sakit semasa percutiannya di Malaysia, dan dimasukkan ke sebuah hospital di Langkawi kerana mengalami jangkitan.
“Baginda mendapat penjagaan yang baik daripada kakitangan perubatan Malaysia dan Norway,” kata keluarga diraja itu dalam satu kenyataan.
Raja Harald menjadi ketua negara istiadat Norway sejak 1991 dan merupakan raja tertua yang masih hidup di Eropah.
Baginda berulang kali dimasukkan ke hospital disebabkan jangkitan beberapa tahun kebelakangan ini, dan pernah menjalani pembedahan jantung.
Putera Mahkota Haakon merupakan Pemangku Raja ketika ketiadaan Raja Harald V. – 28 Februari 2024