KUALA LUMPUR — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah akan terus memantau dan memerhati tindak-tanduk penjawat awam dan kualiti perkhidmatan awam di Selangor.
Baginda juga mahu agar karenah birokrasi dan peraturan yang menyusahkan dalam urusan-urusan kerajaan dikurangkan segera.
“Beta tidak mahu sikap lalai dan malas terus diamalkan oleh penjawat awam sehingga menyebabkan banyak projek-projek pembangunan tergendala atau berdepan masalah.
“Sebagai contoh, projek tebatan banjir dan juga projek baik pulih kemudahan rakyat yang masih gagal dilaksanakan dengan segera.
“Beta amat bimbang sekiranya sikap dan kebiasaan sebegini masih ada dalam pemikiran penjawat awam, rakyat Beta yang akan terus menanggung akibatnya,” demikian titah baginda dalam titah ucapan sempena majlis perasmian Mesyuarat Pertama, Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor yang ke-15.
Sultan Sharafuddin turut memaklumkan bahawa penjawat awam perlu ada ‘sense of urgency’ dan bertindak segera bagi memastikan perkhidmatan berkaitan rakyat dapat diselesaikan dengan pantas dan sempurna.
Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) dijadual berlangsung selama 10 hari sehingga 11 Mac ini.
Sementara itu, dalam titah berkenaan, Sultan Sharafuddin turut meminta Ahli-Ahli Dewan Negeri supaya menghindari persengketaan dan berbahas dengan secara bertanggungjawab dan berhemah.
“Jauhilah perbuatan yang bersifat melampau yang membawa kemudaratan dan menjejaskan nama baik Dewan yang mulia ini,” kata baginda.
Baginda turut meminta supaya persidangan DNS ini menjadi contoh terbaik kepada rakyat di mana semua perbahasan mestilah berlangsung dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.
Persidangan DNS, kata baginda, tidak seharusnya menjadi medan menabur fitnah serta membesarkan isu sensitive serta berita palsu.
Dalam masa sama perbahasan juga perlu memberi manfaat sebaiknya kepada rakyat serta kemajuan negeri. – 27 Februari, 2024