KUALA LUMPUR – Mencari pelakon wanita untuk berlawan, melakonkan babak aksi lasak serta boleh bertutur dalam loghat Kelantan merupakan cabaran utama dihadapi Sham Jr sebagai pengarah filem Janna Endoro.
Ketika ditemui Scoop, Sham Jr berkata, untuk mencari pelakon wanita yang sesuai membawakan watak Janna mereka terpaksa melakukan beberapa sesi uji bakat terlebih dahulu.
“Ada kira-kira tujuh hingga lapan pelakon wanita yang menghadiri uji bakat, tetapi akhirnya kami memilih Trisha Ooi kerana kami rasa dia sesuai membawakan watak Janna.
“Ini kerana dia boleh menyampaikan lakonan emosi, mempunyai seni kemahiran bela diri dan kelebihan membuat aksi lagak ngeri. Dalam filem ini semua aksi lagak ngeri, dia yang buat sendiri. Memang tidak pakai ‘double body’ pun.
“Kebetulan pula, dia masih baru dan kita harap dapat mengangkat dia melalui filem ini yang merupakan filem pertamanya sebagai teraju utama,” katanya.
Bagi memastikan Trisha mampu menguasai loghat Kelantan dengan baik, Sham Jr berkata, dia beserta pelakon-pelakon lain yang kebanyakannya berasal dari Kelantan telah melatih Trisha dan sentiasa bertutur dengannya dalam loghat tersebut.
“Walaupun tidak 100% tapi sekurang-kurangnya dia boleh bertutur jadi kita terpaksa buat Janna itu datang dari negeri lain dan berkahwin dengan pemuda Kelantan bernama Mat Dat.
“Kita juga kena jaga dialog dan sebutan supaya dia nampak seperti menetap di Kelantan,” katanya.
Sham Jr juga menjelaskan, menampilkan wanita sebagai heroin adalah suatu kelainan yang cuba mereka lakukan dalam filem bergenre aksi ini.
“Sebelum ini, lebih banyak filem aksi hero lelaki yang dihasilkan. Asyik-asyik lelaki. Jadi, dari proses awal penyediaan skrip filem, saya, produser dan produksi teah berbincang untuk mengangkat wanita pula.
“Secara peribadi, saya sendiri memang suka buat filem aksi dan saya minta supaya babak-babak aksi untuk wanita dilebihkan,” jelasnya.
Sham Jr juga menafikan bahawa Janna Endoro cuba memberikan gambaran dan imej yang buruk kepada penduduk dan negeri Kelantan sebaliknya apa yang hendak ditonjolkan ialah perbuatan jahat akan dibalas dengan jahat.
Malah jika ada yang cuba mempolitikkan perkara itu, ia tidak adil kerana filem ini adalah sekadar hiburan semata-mata.
Tambah Sham Jr, Janna Endoro bukan sebuah filem rasis kerana cuba menonjolkan semangat kenegerian dengan menggunakan ramai pelakon dan tenaga produksi daripada kalangan orang Kelantan.
“Kita ada terfikir tentang tanggapan seperti ini. Tapi, ada juga pelakon yang bukan orang Kelantan seperti Josiah Hogan dan Trisha sendiri. Begitu juga dengan beberapa tenaga produksi lain yang bekerja dalam filem ini.
“Sebetulnya, kita mahu tonjolkan budaya dan cara kehidupan orang Kelantan sebab itu kita banyak guna pelakon-pelakon dari Kelantan,” katanya.
Sham JR juga berkata, biarpun filem ini mempunyai banyak babak aksi dan lawan serta babak judi atau merokok, namun ia bebas daripada potongan Lembaga Penapisan Filem (LPF).
‘Alhamdulillah, Janna Endoro bebas potongan LPF. Tetapi filem ini telah diklasifikasikan di bawah kategori P13 yang mana ia sesuai bagi tontonan usia 13 tahun ke atas,” katanya.
Mengenai pengunaan Endoro pada filem itu, Sham menjelaskan orang-orang Kelantan menyebut motor scrambler sebagai Endoro.
“Tapi, Endoro sendiri adalah jenama motosikal scrambler Yamaha Enduro yang dibahagikan kepada 100 dan 175cc yang sangat popular pada era 1970-an. Ia sentiasa diletakkan di bawah rumah.
“Takkan saya nak buat Janna naik kereta atau naik basikal ketika nak pergi berlawan. Yang lebih sesuai adalah menggunakan Enduro. Sebab itulah filem ini dinamakan sebagai Janna Endoro,” katanya. – 24 Februari, 2024