KUALA LUMPUR – Cadangan mengenai pelaksanaan beras putih Malaysia Madani akan dimuktamadkan petang ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) termasuk penetapan harga bagi makanan ruji lain.
“Beras Putih Malaysia Madani akan dibincangkan petang ini. Masalah dia jangan bincang soal beras sahaja kerana inisiatif dibuat itu turut membabitkan penjualan barangan lain seperti ikan, ayam, daging dan sayur pada harga lebih murah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Tun Razak Exchange (TRX) sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa di sini, hari ini.
Menurut beliau, pengumuman mengenai harga terutamanya membabitkan beras mestilah dibuat kerajaan, tetapi tidak salah ada pihak lain membuat cadangan mengenainya.
“Harga beras mestilah pengumuman kerajaan, kalau ada cadangan tersendiri itu negara demokrasi boleh… tetapi ia bukanlah keputusan kerajaan. Kerajaan akan buat keputusan petang ini,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengumumkan kerajaan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu dilaporkan berkata, kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih itu pada kadar RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg).
Katanya, pelaksanaan tersebut berkuat kuasa 19 Februari ini dan dijangka berada di pasaran bermula 1 Mac.
Bagaimanapun, pada 17 Februari lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menjelaskan, belum ada ketetapan dibuat ke atas cadangan untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang akan dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.
Katanya lagi, kementerian bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa cadangan terbabit akan dibincangkan secara kolektif dalam mesyuarat Naccol. – 23 Februari, 2024