Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Jenazah Tun Abdul Taib Mahmud tiba di Sarawak | Scoop

Jenazah Tun Abdul Taib Mahmud tiba di Sarawak

Keranda membawa Taib kemudian terus dibawa pulang ke kediamannya di Demak Jaya, Petra Jaya, Kuching

5:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pesawat membawa jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 4.25 petang ini.

Jenazah Taib terdahulu diterbangkan dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang menggunakan pesawat Hercules C-130 TUDM ke LTAK tengah hari tadi.

Penerbangan itu disertai isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib serta beberapa ahli keluarga, termasuk empat anaknya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman, Jamilah Hamidah dan Datuk Hanifah Hajar.

Media melaporkan, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, serta tiga timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berada di LTAK bagi menyambut ketibaan jenazah Taib.

Keranda membawa Taib kemudian terus dibawa pulang ke kediamannya di Demak Jaya, Petra Jaya, Kuching.

Terdahulu, di Kuala Lumpur, van yang membawa jenazah Allahyarham tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 1.05 tengah hari, selepas upacara penghormatan terakhir disempurnakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Upacara itu menyaksikan ahli keluarga dan rakan, termasuk tokoh terhormat serta pemimpin politik hadir ke masjid berkenaan.

Taib, 87, meninggal dunia awal pagi ini di hospital pakar jantung, Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) di sini, susulan masalah kesihatan dihadapinya.

Perkara itu dikongsikan menerusi Facebook anak Allahyarham yang juga Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.

“Kembalinya ayahanda Hanifah Hajar Taib yang dikasihi, Tun Abdul Taib kepada penciptanya kira-kira jam 4.40 pagi tadi.

“Pengurusan jenazah akan dilakukan di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum dibawa balik ke Kuching, Sarawak,” katanya. – 21 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Related