KUALA LUMPUR – Malaysia kehilangan individu berpengaruh dan penyumbang penting dalam sejarah negara, kata bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa susulan pemergian Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.
Ahli Jawatankuasa Pusat PAS itu turut berkongsi kenangannya sepanjang mengenali Taib, termasuk bagaimana mereka boleh menjadi sahabat karib.
Katanya, Taib adalah pemimpin yang sentiasa mempunyai keinginan kuat untuk memperbaiki negara, terutama dalam pembangunan negeri kelahirannya, Sarawak.
“Kami berkawan rapat selama kira-kira 40 tahun, sejak beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak.
“Setiap kali saya bercakap dengannya, ia seperti bercakap dengan perancang bandar (kerana) beliau sentiasa berbual mengenai bagaimana untuk mengubah Kuching, termasuk dengan membersihkan Sungai Sarawak dan mewujudkan “waterfront”.
“Melihat kepada bagaimana konsep sedemikian menjadi realiti hari ini, ia benar-benar menyerlahkan bagaimana (Taib) seorang pemimpin yang berwawasan,” kata Annuar ketika ditemui selepas memberi penghormatan terakhir kepada Taib di Masjid Negara di sini, hari ini.
Annuar berkata, Taib yang menjadi Ketua Menteri paling lama berkhidmat, adalah arkitek pemodenan Sarawak dengan komitmen tinggi untuk memperbaiki negeri Borneo itu.
“Beliau sentiasa memberikan yang terbaik untuk negeri ini, sehingga akhir. Beliau berjaya menyatukan Sarawak sejak beliau menjadi pemimpin yang diterima rakyat pelbagai kaum,” katanya.
Beliau juga mengimbau kisah dua bulan lalu, iaitu ketika Taib menjemputnya menaiki buggy untuk pergi menziarahi kubur isterinya, Laila Taib dan adiknya, Datuk Mohd Arip Mahmud.
“Saya masih ingat bagaimana (Taib) memandu buggy itu sendiri. Keluarga kami juga rapat kerana adiknya (Arip) adalah rakan sekelas saya di sekolah rendah.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga beliau (Taib) dan negara,” katanya.
Taib meninggal dunia pada jam 4.40 pagi tadi di Hospital KL Cardiac Vascular Sentral (CVS) di sini selepas menerima rawatan sejak seminggu lalu.
Walaupun beliau digelar sebagai ‘Bapa Pemodenan’ Sarawak, ketika sebahagian besar tempoh pemerintahannya sebagai Ketua Menteri, iaitu dari 26 Mac 1981 hingga 28 Februari 2014, Taib dikaitkan dengan penebangan hutan secara besar-besaran dan tuduhan bahawa memperkaya dirinya serta ahli keluarga.
Malah, kesihatannya baru-baru ini turut menjadi perbualan dan mencetuskan ‘drama’ mengaitkan isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib yang dituduh membawa keluar suaminya dari hospital.
Jenazah Taib yang berada di Masjid Negara, dibawa ke Lapangan Terbang Subang untuk diterbangkan pulang ke Sarawak melalui pesawat tentera.
Ia akan ditempatkan di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching sehingga esok.
Kemudian jenazah akan dibawa ke Masjid Demak Jaya sebelum pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Demak, berhampiran kediaman rasmi Taib. – 21 Februari, 2024