KUALA LUMPUR — Tepat seperti apa yang diramalkan sebahagian juri, penyanyi Stacy Anam dinobatkan sebagai juara The Masked Singer Malaysia musim keempat yang disiarkan malam tadi.
Kemenangan isteri kepada Akim Ahmad ini sekali gus berjaya membongkar identifi di sebalik pemilik kostum bunga Matahari tersebut.
Stacy Anam atau Ummu Shaikhah Stacy Anam membawakan dua lagu iaitu Lathi nyanyian Genius ft Sara Fajira serta lagu ciptaannya, Cinta yang dipopularkan Marsha Milan, membolehkannya meraih markah tertinggi daripada juri.
Sementara itu, gelaran Naib Juara pula disandang Namie iaitu artis versatil dan pempengaruh yang menyarungkan kostum Mat Helang.
Tempat ketiga menjadi milik pelawak dan pengacara, Danial Zaini yang mengenakan kostum Sang Kancil.
STACYYYY!#MaskedSingerMalaysia #AstroMalaysia pic.twitter.com/Fgr8dfGoHa
— Astro (@astroonline) February 18, 2024
Menduduki tempat keempat adalah pemilik kostum Biskut Aiskrim, Adinda Tasya yang dilahirkan daripada program Ceria Popstar, manakala penyanyi Nabila Razali di tempat kelima.
Persembahan final The Masked Singer Musim Keempat ini diadili sembilan juri iaitu Datuk Aznil Haji Nawawi, Erra Fazira, Rozita Che Wan, Michael Ang, Zizan Razak, Nabila Huda, Sherry Al Hadad, Angah Raja Lawak dan Elly Mazlein.
Sembilan selebriti tersingkir pada minggu sebelum ini terdiri daripada Hun Haqeem (Roti John), Datuk Yusry Abdul Halim (Musang), Noki (Bawang Putih) dan Azan Ruffege (Abang Jagung).
Turut tersingkir Amelina (Pom Pom Kin), Daiyan Trisha (Ikan Emas), Rashidi Ishak (Putera Katak), Soo Wincci (Kak Cat) serta Amira Othman dan Irfan Haris (Cili Padi).
Rancangan yang bersiaran selama 10 minggu itu dihoskan pengacara terkenal Datuk AC Mizal. – 19 Februari, 2024