KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang bekerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan Jabatan Pertanian bagi menentukan ketulenan madu menggunakan teknik isotop yang disarankan oleh standard makanan antarabangsa, Codex.
KKM menerusi satu kenyataan memaklumkan, usaha itu dilakukan bagi menangani penjualan produk madu yang tidak mematuhi standard ditetapkan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“KKM turut menawarkan Skim Pensijilan Makanan Autentik yang bertujuan memberikan pengiktirafan ke atas produk makanan yang disahkan autentik atau tulen dan memenuhi kriteria ditetapkan di dalam skim pensijilan ini.
“Ini termasuklah produk madu, daging, kopi dan sarang burung walit. Sehingga kini, tujuh syarikat sudah memperolehi Pensijilan Autentik untuk produk madu dari KKM,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan industri madu negara termasuk madu kelulut berdepan cabaran kehadiran produk tiruan yang didakwa mencecah 90 peratus.
Pensyarah Kanan Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Zulkifli Mustafa dilaporkan berkata, madu tiruan adalah cabaran terbesar dihadapi industri ketika ini.
Mengulas lanjut, KKM berkata, pemantauan pihaknya mendapati 45 atau 5.85 peratus daripada 769 sampel produk madu yang diperiksa dari 2016 sehingga kini tidak mematuhi standard yang ditetapkan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Katanya, tindakan penguatkuasaan sudah diambil ke atas syarikat dan produk terlibat melalui pemantauan yang dijalankan dalam Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM).
“Berdasarkan Seksyen 13(2)(e) memperuntukkan tiada seorang pun boleh menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang diadukkan jika tidak mematuhi standard atau spesifikasi yang ditetapkan oleh mana-mana peraturan yang dibuat di bawah akta ini.
“Seseorang yang didapati melanggar peruntukan ini dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.
“Pengguna adalah disaran membaca label dan memilih produk makanan yang mempunyai logo Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) seperti Autentik, MeSTI, GMP dan HACCP dari KKM.
“Sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya. – 14 Februari, 2024