Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Ross Ariffin tidak lagi gelandangan, kerajaan beri rumah PPR, kembali berkarya | Scoop

Ross Ariffin tidak lagi gelandangan, kerajaan beri rumah PPR, kembali berkarya

Beliau pernah mencipta lagu untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Fauziah Latiff dan Liza Aziz

6:06 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kehidupan komposer dan pemuzik, Ross Ariffin, 61, sebagai gelandangan dan merempat sejak tiga tahun lalu, berubah sekelip mata apabila diberikan sebuah unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR).

Menerusi perkongsian di Facebook, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang bertemu Ross hari ini memaklumkan pemberian unit kediaman itu turut mendapat kerjasama dan pertimbangan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

“Saya mohon pertimbangan daripada YB (Yang Berhormat) Dr Zaliha Mustafa, Menteri Wilayah untuk mengenal pasti sebuah unit PPR dan juga cuba dapatkan bantuan asas untuk keperluan rumah beliau.

“Semasa melangkah masuk rumah PPR baharu, Ross macam tak percaya dia akhirnya mempunyai sebuah rumah sendiri untuk diduduki selepas tiga tahun menjadi gelandangan,” katanya.

Tidak lagi gelandangan! Terpancar kegembiraan di wajah Ross Ariffin sambil memeluk Fahmi Fadzil di unit PPR baharunya – Gambar Facebook Fahmi Fadzil, 11 Februari, 2024

Dalam pertemuan itu juga, Fahmi berkata, beliau sudah berbincang dengan RTM untuk memberi Ross peluang bekerjasama dengan syarikat penyiaran berkenaan dalam projek pengubahan lagu baharu.

Menurut Fahmi, peluang kedua itu juga diharap dapat terus memberikan Ross sinar baharu dalam meneruskan minatnya untuk terus berkarya dalam bidang seni tempatan.

“Kami bertemu Pengarah Muzik, Datuk Mokhzani Ismail untuk merancang penerbitan lagu baharu yang boleh beliau gubah. Ross nampak begitu bersemangat untuk kembali berkarya.

“Buat pertama kali selepas tiga tahun menjadi gelandangan, Ross berpeluang untuk duduk di depan sebuah grand piano dan jari-jemarinya terus lincah meneroka papan kekunci.

“Saya sendiri berasa terharu melihat seorang komposer legenda melepaskan rindu bermain alat muzik,” katanya.

Dalam hantaran itu juga, Fahmi berkata, selagi beliau menjadi menteri dan Kerajaan Madani masih mentadbir, mereka akan melakukan yang terbaik untuk membantu seniman yang memerlukan di luar sana.

Ross Ariffin (kanan) ketika dibawa oleh Fahmi Fadzil bertemu Datuk Mokhzani Ismail (dua dari kiri) di RTM. Turut kelihatan, Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman (kiri) – Gambar Facebook Fahmi Fadzil, 11 Februari, 2024

Media sebelum ini, melaporkan Ross yang pernah mencipta lagu untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Fauziah Latiff dan Liza Aziz kini hidup sebagai gelandangan dan merempat.

Ross yang juga pencipta lagu ‘Dia’ nyanyian Fauziah Latiff berkata, dia hidup sebagai gelandangan dan berpindah-randah sejak tiga tahun lalu di sekitar Pasar Seni, Kuala Lumpur dan juga Melaka.

“Saya tinggal di jalanan selama tiga tahun. Saya ke sana ke sini, tinggal di Pasar Seni dan juga di Melaka. Saya memang hidup gelandangan,” katanya.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, dia turut dua kali diserang angin ahmar dan kini sukar untuk berjalan dan bercakap.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan, anda boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Ross Ariffin Jamil, 0410041100013234. – 11 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Related