KUALA LUMPUR – Bagi penggubalan undang-undang syariah, Dewan Undangan Negeri (DUN) tertakluk kuasanya seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan dalam Jadual ke-9 yang menyenaraikan kuasa Parlimen dan badan perundangan negeri.
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berkata, ia juga tertakluk kepada kuasa yang diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).
“Pembatalan 16 peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan memberi maksud bahawa sebelum sesuatu peruntukan digubal, DUN berperanan untuk memastikan setiap enakmen yang digubal tidak melampaui kuasa yang ada padanya.
“Keputusan oleh Mahkamah Persekutuan ini juga sebagaimana yang berlaku kepada kes Iki Putra Mubarak v. Kerajaan Negeri Selangor & Anor [2021] 3 CLJ 465.
“Pembatalan 16 peruntukan tersebut hanya kerana ianya melangkaui bidang kuasa yang diberikan kepada DUN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut JKSM, bagaimanapun perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam masih menjadi suatu kesalahan di bawah hukum syarak.
“Kesalahan sama masih boleh diambil tindakan penguatkuasaan di bawah undang-undang yang berkaitan seperti Liwat di bawah Kanun Keseksaan, Perbahasaan Halal di bawah Akta Perihal Dagangan dan sebagainya,” katanya.
JKSM berkata, keputusan itu juga boleh disifatkan satu pengukuhan terhadap perundangan Islam Malaysia apabila Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya menyatakan bahawa hukuman takzir yang terdapat dalam Mahkamah Syariah, adalah selari dengan Kanun Keseksaan di Mahkamah Sivil.
“..dan indikasinya adalah menunjukkan bahawa sudah wujud pengharmonian antara bidang kuasa Sivil dan Syariah,” katanya.
Tambah JKSM, kenyataan sesetengah pihak di mana kesalahan berkhalwat dan minum arak tidak termasuk dalam kategori kesalahan yang diisytiharkan oleh mahkamah sebagai tidak sah dan terbatal, adalah satu kenyataan tidak benar.
“Bagi kesalahan sumbang mahram, apabila mahkamah mengisytiharkan ia tidak sah dan terbatal, ia tidak bermakna sumbang mahram tidak lagi menjadi kesalahan bagi orang Islam di Kelantan.
“la tidak sah kerana undang-undang tersebut telah diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan yang merupakan undang-undang Persekutuan.
“Jika orang Islam di Kelantan melakukan kesalahan sumbang mahram, kesalahan itu boleh dibicarakan di mahkamah sivil.
“Malah, hukuman diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan juga lebih tinggi, berbanding dengan hukuman yang diperuntukkan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan tersebut,” katanya.
Tegas JKSM, perlu difahami bahawa keputusan mahkamah dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid hanya melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan Negeri yang boleh menggubal undang-undang bagi kesalahan tersebut.
“la tidak bermakna orang Islam di Kelantan tidak boleh dikenakan hukuman kerana melakukan kesalahan-kesalahan tersebut.
“la hanya tidak boleh dibicarakan di mahkamah syariah, namun boleh dibicarakan di mahkamah sivil,” katanya.
JKSM berkata, secara tidak langsung, dengan adanya peruntukan di bawah kanun keseksaan juga, kesalahan tersebut boleh dipertuduhkan kepada tertuduh dalam kalangan orang Islam dan orang bukan Islam.
“Contohnya, kesalahan muncikari apabila orang kena tuduh (OKT) orang Islam boleh dibicarakan di mahkamah syariah. Orang bukan Islam tidak tertakluk di bawah bidang kuasa mahkamah syariah,” katanya.
Menurutnya, sebarang kesalahan berkaitan 16 peruntukan yang diputuskan sebagai tidak berperlembagaan kerana bertindan dengan peruntukan Persekutuan adalah kesalahan yang meliputi semua golongan termasuk umat Islam.
“Hukuman tersebut merupakan hukuman takzir, lebih berat dan bersifat inklusif di mana jika pesalah merupakan pesalah Islam dan bukan Islam, maka kedua-dua pesalah tersebut akan dikenakan hukuman sama rata.
“Secara umumnya Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah yang mempunyai bidang kuasa kompeten untuk memutuskan kes berkenaan berdasarkan Perkara 128 Perlembagaan Persekutuan.
“Badan Perundangan Negeri pula mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang kesalahan jenayah Syariah bagi kesalahan berhubung dengan pelanggaran rukun agama Islam,” katanya. – 11 Februari, 2022