KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, wajar mencari jalan supaya peruntukan yang dibatalkan itu menjadi sah di sudut undang-undang.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor berpandangan, isu membabitkan keputusan itu juga tidak perlu dipolitikkan mana-mana pihak.
Beliau berkata, sebaliknya pihak berkenaan perlu bersama-sama memikirkan mengenai cara-cara berkesan untuk memartabatkan kedudukan syariat Islam di negara ini.
“Pada pandangan saya, semua pihak perlu menerima keputusan mahkamah tersebut, namun jika ada mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan keputusan terbabit, bolehlah berusaha mencari jalan supaya peruntukan dibatalkan itu menjadi sah di sudut undang-undang.
“(Seperti) kata bidalan, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Cubalah memohon bantuan mereka yang pakar dalam bidang undang-undang untuk menggubal peruntukan Enakmen Syariah Negeri Kelantan yang tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
“…dan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dianggap bertindak melebihi bidang kuasanya,” katanya kepada Scoop.
Beliau berkata, pihak lebih sesuai memberi komen terhadap isu itu ialah mereka yang berkecimpung secara langsung dalam profesyen undang-undang.
“Kalau ingin tahu pandangan mufti saya rasa Mufti Kelantan adalah individu lebih tepat dirujuk dalam isu ini, memandangkan ia berkait rapat dengan undang-undang syariah di negeri berkenaan.
“Bidalan Arab ada mengatakan yang maksudnya ‘penduduk Makkah lebih mengetahui mengenai lorong-lorongnya’,” katanya.
Ujarnya, Malaysia adalah negara yang mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dalam pemerintahannya yang mengizinkan warganegara menzahirkan pendirian dan kehendak masing-masing, melalui apa jua saluran, selagi ia dibuat secara aman serta tidak menyalahi undang-undang.
“Ini termasuk mengadakan perhimpunan untuk sesuatu tujuan yang diperjuangkan,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan semalam membatalkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dikemukakan Nik Elin Zurina dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Man yang mengetuai sembilan panel, menyampaikan keputusan majoriti Hakim 8-1 hari ini, di mana mereka mengekalkan Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau orang Islam yang rosak akhlaknya).
Justeru, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan bahawa 16 peruntukan termasuk Seksyen 14 (liwat), Seksyen 16 dan 17 (hubungan seksual dengan mayat dan bukan manusia) serta Seksyen 42 (penyalahgunaan label dan konotasi halal) adalah terbatal.
Tengku Maimun berkata, dua peruntukan iaitu Seksyen 5 (tuntutan palsu) dan Seksyen 37 (perjudian) yang ditarik balik oleh kedua-duanya tahun lepas dianggap sah.
Dengan keputusan berkenaan, Badan Perundangan Negeri Kelantan, tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu. – 10 Februari, 2024