Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Nooryana kecewa Najib tak dapat pengampunan penuh, dibebaskan serta-merta | Scoop

Nooryana kecewa Najib tak dapat pengampunan penuh, dibebaskan serta-merta

Menurutnya, mereka sekeluarga yakin dan kekal dengan pendirian bahawa bapanya tidak bersalah

5:54 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa kecewa dengan keputusan dibuat Lembaga Pengampunan berhubung permohonan bapanya.

Menurut Nooryana atau lebih mesra disapa Yana, mereka sekeluarga mengharapkan bapanya diberi pengampunan penuh dan dibebaskan serta-merta.

“Walaupun kami menghargai pengurangan hukuman daripada 12 tahun kepada 6 tahun yang diputuskan Lembaga Pengampunan setelah pertimbangan pendapat dan nasihat, kami berasa kecewa kerana beliau tidak mendapat pengampunan penuh dan dibebaskan serta-merta,” katanya dalam hantaran di Instagram, hari ini.

Yana berkata, dia dan keluarga yakin dan kekal dengan pendirian bahawa bapanya tidak bersalah.

“Mereka yang mengikuti kes SRC secara dekat sudah tentunya tahu dan bersetuju dengan penghakiman oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak tahun lepas bahawa ketidakadilan yang besar telah berlaku ke atas Najib dan keputusan yang betul ialah beliau wajar dilepaskan dan dibebaskan,” katanya.

Lembaga Pengampunan menerusi kenyataan hari ini memaklumkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.

“Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-61 telah bersidang pada 29 Januari 2024.

“Lima kertas pengampunan, termasuk permohonan Datuk Seri Najib Razak telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan itu yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Yang di-Pertuan Agong ketika itu),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan berkenaan lagi, selepas mempertimbangkan pendapat serta nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu memutuskan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, selain pengurangan denda yang perlu dibayar.

“Oleh yang demikian, Datuk Seri Najib Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal, iaitu 23 Ogos 2028, dan denda yang perlu dibayar sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

“Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara beliau akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan ialah pada 23 Ogos 2029,” katanya.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sehubungan itu, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Lembaga Pengampunan sudah membuat keputusan berhubung permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan selepas disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 12 tahun pada 2022.

Perdana Menteri, bagaimanapun menjelaskan kerajaan tidak akan membuat sebarang pengumuman mengenai keputusan itu, sebaliknya ia bakal dilakukan sendiri oleh Lembaga Pengampunan. – 2 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Related