KUALA LUMPUR – Bukan ingin berkahwin, tetapi gambar Siti Nordiana yang tular baru-baru ini diambil bagi tujuan promosi konsert solo pertamanya yang akan berlangsung pada 11 Mei depan di Zepp Kuala Lumpur.
Menurut Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, dia tidak bermaksud untuk membuat mana-mana pihak salah faham.
“Saya dengan rendah diri memohon maaf jika ada pihak yang salah faham dan menyangka saya akan mendirikan rumah tangga selepas tersebarnya foto saya berbusana pengantin baru-baru ini.
“Sebenarnya konsep kahwin itu adalah tema untuk konsert saya yang diberi nama Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert tersebut.
Bercerita mengenai konsert solonya yang dibawakan khas oleh Icon Entertainment, Nana berkata, dia terharu dan gembira kerana akhirnya impian untuk mengadakan konsert solo menjadi kenyataan.
“Dah lama saya tunggu untuk ada konsert solo sendiri. Bila pihak Icon Entertainment menyatakan hasrat untuk menganjurkan konsert Nana, saya rasa macam berada di awang-awangan dan terima dengan hati terbuka.
“Sebelum ini bukan saya tak pernah rancang untuk menganjurkan konsert solo sendiri, tetapi belum ada rezeki. Saya pun sangat sibuk sebelum ini. Jadi saya rasa ini waktu yang tepat,” katanya.
Biarpun mendapat tempat kelapan di All Stars Gegar Vaganza (ASGV) yang lalu, tetapi rezeki Nana untuk mengadakan konsert datang lebih awal berbanding peserta lain.
“Alhamdulillah, ASGV itu ibarat latihan bagi saya selama 12 minggu. Apa yang saya dapat selama bertanding sedikit sebanyak dapat membantu saya dalam persiapan menjelang konsert nanti,” ujarnya.
Bagi yang ingin mendapatkan tiket bagi menonton konsert ini, boleh layari laman sesawang ticket2u.com.
Harga tiket bermula RM188 (Paling Comel), RM228 (Memori Berkasih), RM308 (Mainan Cinta), RM4888 (VIP Box ). – 30 Januari, 2024