KUALA LUMPUR – Hujan berterusan selama dua hari dengan jumlah kumulatif harian mencapai 126 mililiter (mm) dikenal pasti sebagai punca kejadian tanah runtuh di Batu 59, Blue Valley, Cameron Highlands, baru-baru ini.
Perkara itu terangkum dalam siasatan dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) di tapak tanah runtuh, bagi mengenalpasti punca kejadian serta menentukan zon bahaya dan zon kawalan kawasan bencana.
Menerusi kenyataan JMG, hujan berterusan itu menyebabkan cerun semula jadi berkecuraman tinggi yang didasari batuan granit dengan lebih daripada 35 darjah, cenderung untuk runtuh.
“JMG sudah menjalankan siasatan tapak untuk mengenalpasti punca kejadian serta menentukan zon bahaya dan zon kawalan kawasan kejadian, bagi memastikan keselamatan anggota agensi tindak balas semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
“Siasatan awal JMG mendapati punca kejadian ini disebabkan hujan yang berterusan bermula pada jam 3 petang, 24 Januari 2024 dengan jumlah kumulatif hujan harian mencapai 126 mm pada 25 Januari 2024,” katanya.
JMG berkata, bagi mengelakkan risiko kejadian bencana geologi tanah runtuh, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui jabatan itu, mengesyorkan pihak berkuasa tempatan supaya mengambil kira input Projek Penghasilan Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC).
Katanya, ia berkaitan perancangan pembangunan dan pengawalseliaan aktiviti kelestarian pertanian di kawasan bercerun.
Pada masa sama, JMG berkata, NRES akan mengkaji kesesuaian pemasangan sistem amaran awal seperti tolok hujan secara komprehensif.
“Kajian ini dilaksana terutama di kawasan dikenal pasti berkerentanan tinggi tanah runtuh yang dijangka akan disiapkan pada hujung tahun ini di tujuh kawasan terpilih,” katanya.
Kenyataan sama memaklumkan, pihak JMG dari semasa ke semasa akan memperluas dan mengemaskini peta berkaitan melalui PBRC.
“Usaha ini dalam menyalurkan maklumat berkenaan kawasan potensi bahaya tanah runtuh kepada pihak berkepentingan,” katanya,
NRES, katanya, komited terhadap aktiviti penyelidikan dan penggunaan teknologi tinggi yang terkini dalam mengenal pasti serta pemantauan kawasan ‘hotspot’ bencana geologi.
“NRES juga bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi teknikal untuk memperluaskan program pengurusan risiko bencana melibatkan komuniti (Community-Based Disaster Risk Management, CBDRM) kepada penduduk kawasan sekitar.
“Langkah ini bagi meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan terhadap bahaya bencana geologi tanah runtuh,” katanya.
Dalam kejadian tanah runtuh kira-kira jam 2.40 pagi pada 25 Januari lalu itu, lima warga Myanmar termasuk seorang wanita tertimbus selepas rumah dihuni mereka terbabit insiden berkenaan.
Semua mangsa adalah warga Myanmar dan mereka adalah pekerja di ladang sayur di situ.
Mayat semua mangsa sudah ditemui pasukan mencari dan menyelamat dengan dua terawal dikeluarkan pada 26 Januari, manakala tiga keesokannya.
Laporan mengatakan, lokasi kejadian tanah runtuh itu adalah kawasan Hutan Simpan Sungai Wi D yang diterokai pengusaha kebun sayur secara haram sejak tahun lalu, walaupun pernah dikenakan tindakan.
Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman berkata, pemilik kebun warga tempatan itu pernah ditahan dan sitaan peralatan dilakukan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang pada April tahun lalu.
“Peneroka itu ada membuat permohonan permit penggunaan tanah hutan, namun Jabatan Perhutanan tidak memberi sokongan kerana keadaan cerun yang tinggi melebihi 35 darjah.
“Ia disebabkan ada risiko bahaya iaitu jika berlaku hujan yang banyak, cerun itu tidak dapat menampung dan berlaku gelinciran,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Bomba di lokasi kejadian pada Sabtu lalu. – 30 Januari, 2024