KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menafikan beliau antara 10 lagi Ahli Parlimen Bersatu yang dijangka memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang pembukaan sidang Parlimen, 26 Februari ini.
Beliau yang juga Naib Ketua Srikandi Bersatu, menyatakan dakwaan itu sebagai tidak benar.
“Saya ingin menafi sekeras-kerasnya.. tidak ada.. perkara itu tidak benar,” katanya kepada Scoop hari ini.
Hari ini Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, seramai 10 lagi Ahli Parlimen Bersatu dijangka memberi sokongan kepada Perdana Menteri.
Meskipun tidak mendedahkan nama Ahli Parlimen terbabit, namun mereka dikatakan dari Kedah, Pulau Pinang dan Perak; tiga dari Pantai Timur, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang serta dua lagi dari Selangor dan Melaka.
Mas Ermieyati menjadi satu-satunya Ahli Parlimen Bersatu di Melaka.
Pada sidang media itu juga, Syed Hussin menyeru lima Ahli Parlimen pembangkang yang berprofail tinggi untuk sama-sama menyokong Perdana Menteri dan meninggalkan Bersatu termasuk Mas Ermieyati.
Yang lain adalah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Datuk Ronald Kiandee (Beluran); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).
“Lima Ahli Parlimen ini adalah orang kuat, mereka keluar Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk parti Bersatu, justeru mereka boleh membantu PM dalam segala segi,” katanya.
Sebelum ini, enam Ahli Parlimen termasuk Syed Abu Hussin telah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Mereka yang lain ialah Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik dan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim.
Selain itu, Mas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen turut menafikan wujud dua kem dalam Bersatu seperti didakwa Syed Abu Hussin.
“Saya boleh tegaskan bahawa tidak ada kem dalam Bersatu. Kita berpaksi kepada Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin).
“Dalam mana-mana organisasi atau persatuan berbeza pandangan dan pendapat itu perkara biasa, ia sentiasa berlaku, tipu kalau kita kata semua sama pendapat (kalau ada perbezaan) kita buat (bincang) dalam suasana kekeluargaan,” katanya.
Sementara itu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid turut menafikan beliau sebagai antara 10 lagi Ahli Parlimen yang akan menyatakan sokongan.
Beliau yang satu-satunya Ahli Parlimen Bersatu di Terengganu, mendakwa apa yang dinyatakan Syed Abu Hussin itu satu pembohongan.
“Itu semua bohong, saya tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pihak berkait perkara berkenaan
“Kononnya Terengganu antara yang disebut dalam kuota (akan sokong) itu memang bohong,” katanya.
Beliau juga menafikan dakwaan ramai ahli Parlimen Bersatu mahukan Hamzah sebagai presiden baharu parti itu.
“Tak perlu percaya kata-kata dan dakwaan dia (Syed Abu Hussin),” katanya. – 26 Januari, 2024