KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan isteri, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid telah menamatkan khidmat lima peguamnya bagi berdepan pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Peguam, M Puravalen mengesahkan perkara itu kepada Scoop bahawa hanya beliau yang dikekalkan buat masa ini bagi mewakili pasangan tersebut.
Daim dijangka berdepan dua pertuduhan SPRM minggu depan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Scoop sambil menambah taikun itu akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sama ada Isnin atau Selasa ini.
Sebelum ini, Na’imah diwakili enam peguam termasuk Puravalen; Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang merupakan bekas peguam cara negara, Cheah Kha Mun, Alex Tan, Md Yunos Shariff dan Beston Tan ketika dihadapkan ke mahkamah pada Selasa lalu.
Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan 12 harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Nai’mah, 67, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus jurubahasa membaca pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Wanita itu juga didakwa dengan sengaja memberi satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.
Harta itu adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd; dua kenderaan mewah Mercedes Benz; dua rumah di Persiaran Bukit Tunku dan Jalan Athinahapan, Taman Tun Dr Ismail (TTDI); empat lot tanah pegangan bebas di Bukit Tunku dan satu lot tanah, masing-masing di Pulau Pinang dan TTDI.
Pada 10 Januari lalu, Daim dan ahli keluarganya memfailkan permohonan memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar tindakan siasatan SPRM menyiasat dan membekukan semua aset mereka.
Dalam permohonan itu, SPRM dinyatakan tiada sebab munasabah untuk menyiasat yang akan membawa kepada pendakwaan bagi sebarang kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM) atau Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan hasil daripada Akta Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Selain Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, turut disenaraikan sebagai pemohon adalah isterinya; empat anak mereka, Asnida, Md. Wira Dani, Muhammed Amir dan Muhammed Amin Zainuddin serta syarikat, Menara Ilham Sdn. Bhd., yang memiliki bangunan terbabit. – 26 Januari, 2024