KUALA LUMPUR – Seorang pekerja kebun ditemukan maut manakala empat lagi mangsa masih tertimbus selepas dalam kejadian tanah runtuh di Batu 54, Blue Valley, Cameron Highlands, Pahang, pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, mangsa terdiri daripada lima orang warga Myanmar yang mendiami sebuah rumah telah dihempap oleh kejadian tanah runtuh.
Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands telah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 2.51 pagi.
“Operasi mencari dan menyelamat diketuai Pegawai Operasi BBP Cameron Highlands, Wan Zaidi Wan Mokhtar bersama lapan pegawai.
“Mangsa yang terlibat adalah tiga lelaki dan seorang wanita yang masih tertimbus manakala seorang lagi iaitu lelaki ditemukan meninggal dunia pada jam 6.27 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, JBPM telah menggerakkan bantuan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm) untuk ke lokasi kejadian.
“Turut digerakkan bantuan Pasukan Khas dari Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Unit Pengesan K9.
“Operasi juga melibatkan rakan strategik jabatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa pertama yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu berjaya dikeluarkan pada jam 11.05 pagi.
Beliau berkata, mayat lelaki itu diserahkan kepada polis untuk urusan selanjutnya.
Mangsa kedua pula berjaya dikeluarkan pada jam 12.46 tengah hari tadi.
Katanya, usaha mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus di kawasan runtuhan masih diteruskan.
“Kawasan agak berbahaya, buat masa ini, kita tidak benarkan pihak media masuk sehingga keadaan selamat,” katanya dan menambah kesemua mangsa merupakan pekerja asing. – 26 Januari, 2024