Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
PM menghadap Agong untuk mesyuarat pra-Kabinet terakhir hari ini | Scoop

PM menghadap Agong untuk mesyuarat pra-Kabinet terakhir hari ini

Al-Sultan Abdullah akan menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 30 Januari ini

7:24 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara, petang tadi.

Istana Negara menerusi satu kenyataan memaklumkan, sesi mesyuarat itu cukup istimewa buat kedua-dua pemimpin, khususnya kepada Al-Sultan Abdullah kerana ini kali terakhir sebelum baginda menamatkan tempoh pemerintahannya pada 30 Januari ini.

“Sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, baginda berangkat menghadiri mesyuarat pra-Kabinet sebanyak 160 kali, termasuk sesi hari ini, dengan empat Perdana Menteri Malaysia.

“Mesyuarat pra-Kabinet yang pertama dihadiri baginda adalah pada 13 Februari 2019.
Turut hadir pada sesi hari ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali,” katanya dalam Facebook rasmi Istana Negara, hari ini.

Katanya, mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu berkaitan kerajaan.

Al-Sultan Abdullah bakal menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari 2024.

Baginda memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Januari 2019.

Pada 27 Oktober tahun lalu, Majlis Raja-Raja bersetuju melantik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari ini. – 23 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related