Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Pengambilan penjawat awam hanya secara lantikan kontrak mulai 1 Februari ini | Scoop

Pengambilan penjawat awam hanya secara lantikan kontrak mulai 1 Februari ini

Surat pekeliling itu disahkan Unit Komunikasi Korporat JPA sebentar tadi

6:41 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bermula 1 Februari ini, kerajaan akan melaksanakan pengambilan pegawai baharu secara lantikan kontrak sehingga inisiatif kaedah lantikan baharu diperkenalkan bagi mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di negara ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz memaklumkan, inisiatif kaedah baharu itu dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan dan penambahbaikan terhadap kesediaan sistem terlibat.

Menurutnya, selaras dengan komitmen negara dalam menangani isu peningkatan tanggungan pencen, kaedah tersebut juga berupaya melandaikan tanggungan fiskal negara dalam tempoh jangka masa panjang.

“Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Julai 2023 memutuskan supaya suatu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenalkan ke arah mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di Malaysia.

“Jemaah Menteri juga bersetuju supaya dalam tempoh peralihan (interim) sebelum penguatkuasaan keadah itu, pengambilan pegawai awam ke perjawatan tetap akan dilaksanakan secara lantikan kontrak (COS) berkuatkuasa mulai tahun ini,” katanya menerusi surat pekeliling yang tular, hari ini.

Wan Ahmad Dahlan berkata, kaedah pelaksanaan lantik kontrak itu adalah mengikut peraturan, pekeliling perkhidmatan dan kaedah semasa yang sedang berkuatkuasa iaitu MyPPSM Ceraian UP.1.1.1 Prosedur dan Dasar Pelantikan Secara Kontrak (Contract of Service).

“Dalam hal ini, lantikan kontrak (COS) yang dimaksudkan adalah lantikan kontrak Objek Sebagai (OS) 11000.

“Oleh itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) selalu Pihak Berkuasa Melantik (PBM) hendaklah mematuhi dan melaksanakan ketetapan ini berdasarkan peraturan, pekeliling perkhidmatan dan kaedah semasa yang sedang berkuatkuasa,” katanya.

Unit Komunikasi Korporat JPA menerusi mesej kepada Scoop mengesahkan ketulenan surat pekeliling tersebut.

“Surat itu sah,” katanya ringkas.

Dalam pembentangan Bajet 2024 pada 13 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan penuh Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan dibuat sepenuhnya bermula 2025.

Bagi tujuan itu, kajian berhubung sistem saraan itu dijalankan secara menyeluruh, yang memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam.

Ia menerusi penggunaan teknologi dan kemahiran modal insan, prestasi penjawat awam dari aspek produktiviti yang mewajarkan gaji setimpal kepada penjawat awam, kesejahteraan penjawat awam dalam menangani kos sara hidup dan kemampanan fiskal negara dalam membiayai perbelanjaan berkaitan perkhidmatan awam.

Pada 5 Disember lalu, Anwar mahu kajian SSPA dilaksanakan ketika ini dapat memberi maklum balas positif membabitkan kenaikan gaji yang drastik.

Beliau berkata, penyelarasan gaji penjawat awam itu perlu dibuat selari maksud slogan anjakan paradigma yang sering dilaungkan.

Malah Anwar turut memberi jaminan penyelarasan gaji golongan profesion teknikal dalam perkhidmatan awam akan diberi keutamaan, selain meminta badan profesional dalam profesion berkenaan mengemukakan input munasabah. – 23 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related