KUALA LUMPUR — Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, yang juga isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dakwaan gagal mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Na’imah, 67, didakwa di bawah Seksyen 36 (1)(b) Akta SPRM 2009 [Akta 694] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 36(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 5 tahun dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000.
Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Feisal Mohd Azmi, Mohd Fadhly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide manakala Na’imah diwakili bekas pendakwaraya kanan,Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, M.Puravalen, Alex Tan dan Cheah Kha Mun.
Pendakwaraya mencadangkan mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM500,000 kepada Nai’mah, dengan pasportnya diserahkan kepada mahkamah selain melaporkan diri kepada pejabat SPRM sebulan sekali.
Bagaimanapun peguam Mohd Yusof meminta jaminan dikurangkan kepada RM250,000, manakala peguam M Puravalen turut menyatakan tiada keperluan kepada Na’imah untuk menyerahkan pasport atas alasan anak guamnya bukanlah seorang ‘flight risk’ (risiko melarikan diri).
Mahkamah kemudiannya menetapkan ikan jamin sebanyak RM250,000, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahakamah menetapkan 22 Mac untuk tarikh sebutan semula kes.
Semalam, menerusi kenyataan media, Na’imah menegaskan beliau akan melawan pendakwaan yang dikenakan oleh SPRM ke atasnya itu.
Beliau berkata, sepasukan pegawai SPRM tiba di hospital tempat suaminya dimasukkan ke wad, bagi merekod keterangan.
“Ini dilakukan walaupun saya telah memberi keterangan pada 10 Januari lalu dan jaminan akan memberi kenyataan sebaik sahaja prosedur perubatan suami selesai pada Selasa,” katanya.
Daim sebelum ini dilaporkan antara yang turut disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan Umno ketika parti itu mentadbir negara.
Bulan lalu, SPRM turut menyita bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, di ibu negara, yang dikatakan milik keluarga Daim.
Notis penyitaan bangunan setinggi 60 tingkat itu bertarikh 18 Disember tahun lalu disiarkan melalui ruangan pemberitahuan sebuah portal berita dengan ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib.
Pada 3 Januari lalu, media melaporkan SPRM memanggil empat individu bagi membantu siasatan kes sama yang direkodkan mengikut Seksyen 30 Akta SPRM 2009. – 23 Januari, 2024