KUALA LUMPUR — Penganjuran konsert dalam suasana Ramadan yang bakal menjelma patut dibatalkan atau ditangguhkan kerana ia seolah-olah menunjukkan tiada sifat sensitiviti dengan suasana dan keadaan semasa.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar menegaskan tiada kewajaran diadakan hiburan ini ketika rakyat Palestin masih berjuang di tanah air mereka tatkala dizalimi Israel.
Justeru, beliau mendesak supaya Pesta Muzik Pahang yang dijadualkan pada bulan depan dan Konsert Siti Nurhaliza pada Mac ini ditangguhkan.
“Ya kita tidak nafikan Islam tidak melarang kepada hiburan tetapi ia perlu ada batasan dan nilai sensitiviti untuk kita berhibur.
“Alangkah indah dan baiknya di dalam suasana sekarang kita melaksanakan sesuatu program yang mendekatkan kita kepada Allah sebagai contoh Malam Kesenian Islam ataupun program-program berunsurkan ketuhanan.
“Ada pepatah yang mengatakan ‘Matlamat Tidak Menghalalkan Cara’. Jadi dalam kita hendak menganjurkan sesuatu perlulah melihat adakah apa yang kita hendak anjurkan itu sesuai dengan suasana dan persekitaran.
“Suasana dan ketegangan di Palestin masih belum reda, tetapi kita masih sanggup berhibur dalam keadaan Palestin masih berduka adalah sesuatu yang tidak wajar sebagai seorang Muslim dan sebagai sebuah Negara yang Islam itu adalah agama Persekutuan,’’ katanya kepada Scoop, hari ini.
Beberapa pihak sebelum ini membantah penganjuran konsert berkenaan ketika bulan Ramadan semakin menghampiri kerana ia disifatkan sebagai tidak sensitif dengan situasi semasa dan mencadangkan ia dibatalkan atau ditunda.
Antaranya ialah Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor mencadangkan supaya penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza menunda Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang dijadualkan pada 9 Mac ke tarikh lain apatah lagi umat Islam dijangka berpuasa pada 12 Mac ini.
Dalam kenyataannya yang dikeluarkan hari ini pula, Wan Salim Wan Mohd Noor menegaskan beliau tidak sama sekali mempertikaikan niat atau tujuan konsert Siti Nurhaliza diadakan namun isu sebenar yang menjadi fokus ialah tarikh konsert berkenaan tidak sesuai atau terlalu hampir dengan Ramadan.
“Mengadakan konsert pada hari-hari menghampiri Ramadan adalah melalaikan umat Islam daripada menumpu perhatian kepada aspek pembangunan rohani.
“Sepatutnya dalam waktu sedemikian umat Islam digalakkan untuk membuat persiapan rohani secukupnya bagi menyambut kedatangan bulan yang mulia tersebut.
“Bagaimanapun, saya hanya memberi pandangan peribadi sahaja berdasarkan pertimbangan yang menyeluruh, bukan sekadar ingin mencapai kepentingan yang segera, tetapi mengambil kira juga kesan konsert itu ke atas umat Islam di sudut Rohani,’’ tegas beliau.
Jumaat lalu, Yayasan Nurjiwa yang merupakan penganjur Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza memaklumkan konsert itu akan tetap diteruskan.
Pengasas Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa berkata, setelah mengambil kira matlamat dan objektif utama penganjuran konsert tersebut, maka Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza secara konsesus meneruskannya.
Manakala Ketua Pemuda PAS Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih turut mendesak supaya Konsert Pesta Muzik Pahang yang dijadualkan pada 24 Februari ini dibatalkan kerana ia disifatkan sebagai tidak sensitif kepada keadaan semasa di Palestin serta hampir memasuki bulan Ramadan.
Pesta Muzik yang menggabungkan seni muzik dan budaya warga Pahang dan Pantai Timur itu dijadual berlangsung di Stadium Darul Makmur Kuantan, Pahang, bermula jam 5 petang.
Antara yang bakal mengadakan persembahan ialah kumpulan muzik dari Indonesia, Ungu bersama artis tempatan seperti Naim Daniel, Khai Bahar, Ara Johari, Nabila Razali, Eda Ezrin dan Den Manjo. – 21 Januari, 2024