Aidil Aziz tahu babak ranjang Fasha dan Afieq, faham tanggungjawab seorang pelakon

Menurut Aidil, dia dan Fasha masing-masing sudah faham mengenai tugas sebagai pelakon dan sebagai suami isteri

Fasha Sandha (kiri, bersama Afieq Shazwan) sudah memberitahu suaminya terlebih dahulu tentang babak-babak panas dalam siri Rampas Cintaku 2 - Tangkapan layar, 21 Januari, 2024

KUALA LUMPUR – Pelakon dan suami kepada Fasha Sandha, iaitu Aidil Aziz mengakui dia tahu mengenai babak-babak panas yang dilakonkan oleh isterinya bersama Afieq Shazwan dalam drama bersiri Rampas Cintaku 2.

Menurut Aidil, Fasha terlebih dahulu memberitahunya mengenai babak-babak tersebut sebelum memulakan penggambaran.

“Sudah tentu saya tahu kerana Fasha akan beritahu saya mengenai watak dan kisah keseluruhan drama tersebut. Saya tidak terkejut langsung melihat babak tersebut kerana telah diberitahu lebih awal.

“Sebagai seorang pelakon, saya faham tugas dan tanggungjawab sebagai pelakon untuk menjalankan kerja dan menyampaikan mesej kepada penonton seperti yang terkandung dalam sesebuah naskhah.

“Untuk menyampaikan mesej tersebut bukan merupakan tanggungjawab seorang pelakon sahaja, tetapi keseluruhan pasukan produksi.

“Yang penting pelakon perlu sedar sewaktu di set penggambaran kita membawakan watak dalam cerita tersebut bukannya jadi diri kita sendiri,” katanya kepada Scoop.

Aidil Aziz (kanan, bersama Fasha Sandha) faham tugas dan tanggungjawab sebagai pelakon untuk menjalankan kerja dan menyampaikan mesej kepada penonton seperti yang terkandung dalam sesebuah naskhah – Gambar Instagram, 21 Januari, 2024

Ditanya adakah dia tidak gusar menerima kecaman daripada netizen yang menggelarnya sebagai suami dayus, kata Aidil dia tidak dapat mengelak daripada perkara tersebut.

“Sejak dari Rampas Cintaku 1 lagi saya sudah kena kecam. Sebagai pelakon kita banyak terima kata-kata daripada orang di luar sana sama ada positif mahupun negatif.

“Yang penting sebagai pelakon kita tahu apa yang kita buat dan apa yang perlu kita sampaikan. Bagaimana penonton ingin terima, itu terpulang kepada mereka.

“Apa yang diharapkan adalah penonton dapat mengambil iktibar dan pengajaran yang terdapat di dalam drama ini,” ujarnya.

Tambah Aidil, dia dan Fasha sudah faham dengan peranan masing-masing sebagai pelakon dan suami isteri.

“Di set penggambaran awak adalah isteri pelakon dalam drama tersebut, tetapi di luar set awak adalah isteri saya. Yang penting masing-masing profesional,” jelasnya.

Aidil juga tidak pernah mempunyai masalah dengan Afieq Shazwan kerana pelakon itu telah meminta izinnya terlebih dahulu untuk melakonkan babak intim bersama Fasha.

“Sejak dari Rampas Cintaku 1 lagi Afieq sudah minta izin dari saya untuk berlakon bersama Fasha.

“Saya pun sudah kenal dengan Afieq kerana saya juga turut berlakon dalam Rampas Cintaku 1. Walaupun untuk musim kedua ini saya tidak terlibat, tetapi Afieq tetap meminta izin lagi sekali dengan saya,” kongsinya.

Drama Rampas Cintaku 2 kini telah pun ditayangkan di platform penstriman iQiyi sejak 19 Januari lalu.

Untuk musim pertama, drama ini telah mencipta fenomena luar biasa selepas berjaya mendapat jumlah tontonan sebanyak 100 juta. – 21 Januari, 2024