Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Anak muda India perlu diberi peluang dalam TVET berteknologi tinggi: Ahmad Zahid | Scoop

Anak muda India perlu diberi peluang dalam TVET berteknologi tinggi: Ahmad Zahid

Perkara berkenaan adalah penting dalam membantu meningkatkan taraf kehidupan golongan itu melalui pendidikan selain membantu mengatasi masalah sosial dalam kalangan masyarakat India

2:02 PM MYT

 

SHAH ALAM – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu tumpuan dan peluang diberikan kepada anak-anak muda masyarakat India dalam menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteknologi tinggi. 

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata perkara berkenaan adalah penting dalam membantu meningkatkan taraf kehidupan golongan itu melalui pendidikan selain membantu mengatasi masalah sosial dalam kalangan masyarakat India. 

“Kita (kerajaan) memberi perhatian terutama pada kemiskinan bandar, untuk mengatasi kemiskinan bukan hanya dalam bentuk sokongan kewangan semata-mata, tetapi mesti menggunakan satu proses untuk menstrukturkan semula kedudukan ekonomi melalui pendidikan.

“Biarpun masyarakat Melayu dan bumiputera amat terkesan, usaha-usaha untuk melayani semua (kaum) di negara ini mesti terus dipertingkatkan dan kaedah terbaik adalah melalui pendidikan,” katanya pada Majlis Ponggal Perpaduan 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata antara bidang TVET berteknologi tinggi yang dikenal pasti ialah kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) dan teknologi berkaitan hidrogen yang membolehkan lepasan pelajar TVET mempunyai kemahiran tinggi dan dapat terus bekerja dalam sektor penting. 

“Kita telah lakukan kerjasama dengan pemain industri, ertinya pelajar lepasan TVET akan terus bekerja dengan syarikat di Malaysia dan antarabangsa. Ini yang telah kita lakukan tetapi kita akan tumpukan juga kepada anak-anak muda masyarakat India dan saya akan pastikan ia dilakukan pada tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan terus menyantuni permasalahan dalam kalangan kaum berkenaan selain menyarankan agar lebih banyak tempat disediakan untuk anak-anak muda India lepasan sekolah dan yang tercicir dalam pendidikan, di institusi TVET. 

“Kita akan sesuaikan minat mereka dalam bidang tertentu untuk dilatih dalam TVET dan bekerjasama dengan institusi dan universiti teknikal di India untuk kita mempromosi TVET yang berdasarkan pendidikan teknologi terbaharu di dunia,” katanya. 

Mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), Ahmad Zahid berkata beliau akan memastikan perkara itu direalisasikan bagi menjaga kebajikan lebih 1.2 juta pekerja yang terlibat dalam bidang itu. 

“Walaupun terdapat beberapa kekangan, saya pasti bersama Perdana Menteri untuk merealisasikan suruhanjaya itu, saya sendiri telah bawa (cadangan itu) suatu ketika dahulu dan akan merealisasikannya dengan persetujuan Kabinet,” katanya. – 21 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related