PETALING JAYA – Bukan Fad Bocey atau pun Mamat Sepah, tetapi Datuk Fizz Fairuz yang dipilih sebagai penyampai baharu Suria FM untuk menggantikan posisi Shuib yang meninggalkan segmen Morning-Morning Suria.
Selain Fizz, Suria FM turut mengumumkan pelawak, Chiwan Chilok sebagai penyampai baru mereka termasuklah Kai Hassan.
Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin, kemasukan penyampai itu di Suria FM sebagai satu langkah baru seiring dengan keperluan semasa untuk memantapkan dan mengukuhkan lagi tunggak utama barisan penyampai, sebelum menjelang ‘radio survey’ yang akan bermula pada 18 Februari hingga 30 Mac ini.
“Datuk Fizz dan Chiwan telah dipilih sebagai penyampai baru Suria FM selepas kami melihat respons pendengar.
“Kedua-dua mereka pernah diundang sebagai penyampai jemputan. Dari situ kami lihat maklum balas positif. Ramai yang suka dengan persembahan mereka.
“Jika ada yang bertanya kenapa pelakon dan pelawak yang dipilih, saya rasa tiada masalah untuk memberikan mereka peluang dan ruang.
“Tak semestinya pelakon dan pelawak tak boleh jadi penyampai radio. Tidak adil untuk kita menghukum,” katanya ketika ditemui di sidang media Suria FM.
Fizz Fairuz bakal ke udara bersama Ajak dan Suraya Borhan setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 6 hingga 10 pagi. Chiwan pula akan bergandingan bersama Rara (Sharifah Shahirah) menerusi segmen Suria Petang setiap Isnin hingga Jumaat jam 3 petang hingga 7 malam.
Tambah DJ Lin lagi, setiap penyampai dipilih melalui pemilihan yang teliti, dengan menekankan kemahiran profesional dan pengalaman luas, selain mempunyai bakat serta minat mendalam terhadap bidang penyiaran radio.
Sementara itu bagi Fizz, dia mengakui mengambil masa agak lama untuk membuat keputusan menerima tawaran menjadi penyampai radio Suria.
“Lama juga saya berfikir sebab sebagai seorang pelakon yang ada macam-macam nak kena buat. Saya juga punya ramai anak kecil.
“Saya tak pernah bekerja di tempat yang memerlukan saya ‘punch card’. Pengurusan masa saya selalu ke laut dalam. Saya agak risau juga sebenarnya.
“Tetapi saya rasa mungkin ini adalah rezeki saya yang baru pulang dari mengerjakan ibadah umrah. Mungkin ini adalah jalan baharu untuk saya. Saya ingin berterima kasih kepada Suria FM di atas peluang ini dan berjanji akan buat yang terbaik,” katanya.
Bagi Chiwan pula, dia teruja dapat bergandingan dengan Rara bagi segmen Suria Petang kerana kagum dengan bakatnya.
“Kak Rara adalah seorang yang sangat mudah untuk bekerja. Dia seorang yang ‘memberi’ dan sangat kelakar. Dia juga selalu bantu jika saya ada buat silap. Bagi saya dia adalah ‘killer’ untuk gandingan ini,” jelasnya.
Terdahulu, sebelum ini penyampai Suria, Shuib telah meninggalkan stesen berkenaan pada penghujung tahun lalu selepas lebih setahun berkhidmat.
Sebelum mengumumkan Fizz sebagai penyampai, Mamat Sepah dan Fad Bocey telah diundang sebagai penyampai undangan menggantikan Shuib untuk segmen Morning Morning Suria.
Baru-baru ini, Tyzo pula ditamatkan kontrak pada 12 Januari lalu. – 20 Januari, 2024