KUALA LUMPUR – Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) yang membawa gelaran Datuk dikurniakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V kepada bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff sah ditarik balik.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad kepada media, hari ini.
“Seperti diwartakan,” katanya seperti dilaporkan media.
Semalam, tular satu warta memaklumkan Sultan Muhammad V memperkenan DPSK dikurniakan kepada Agus, ditarik balik berkuat kuasa 2 Disember lalu.
Warta bertarikh 28 Disember lalu itu memaklumkan, Agus dikurniakan darjah kebesaran berkenaan pada 12 November 2011.
Bagaimanapun, tiada sebab dinyatakan dalam warta itu berhubung alasan di sebalik darjah kebesarannya berkenaan ditarik balik.
“Bagi menjunjung titah perintah Sultan Muhammad V, adalah dimaklumkan bahawa baginda perkenan menarik balik Tauliah Pelantikan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DSPK) yang dianugerahkan kepada Mohammad Agus sebelum ini.
“Penarikan balik ini berkuat kuasa mulai 2 Disember lalu.”
Agus ketika dihubungi Scoop semalam bagi mendapatkan pengesahan mengenai penarikan balik DPSK diterimanya itu, enggan mengulas.
“Saya tidak mahu komen perkara itu, saya kini berada di luar negara,” katanya ringkas. – 19 Januari, 2024