Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Peguam Negara bertegas tidak teragak-agak mendakwa pihak manipulasi isu kaum, agama, raja (3R) | Scoop

Peguam Negara bertegas tidak teragak-agak mendakwa pihak manipulasi isu kaum, agama, raja (3R)

Mereka ada kecenderungan ganggu dan bahayakan kehidupan rakyat, tahap keselamatan negara

2:55 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh menegaskan pihaknya tidak teragak-agak mendakwa mereka yang memanipulasi isu kaum, agama dan raja (3R) termasuk menggunakan Akta Hasutan jika perlu.

Malah beliau memberi amaran keras kepada mana-mana pihak mengenai komitmennya dalam mengekang kesalahan itu yang semakin berleluasa disebarkan pihak tertentu.

“Kita sedar bahaya salah guna dan manipulasi isu berkaitan 3R yang ada kecenderungan mengganggu dan membahayakan kehidupan rakyat serta tahap keselamatan negara.

“Saya tidak teragak-agak membawa mana-mana pesalah ke muka pengadilan dan mengambil tindakan tegas demi mengekalkan keamanan dan ketenteraman negara,” katanya dalam ucapan sulung Pembukaan Tahunan Perundangan 2024 (OLY2024) di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, Pendakwa Raya mesti dibenarkan untuk melaksanakan tugasnya dengan baik dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan dan mana-mana undang-undang bertulis, tanpa campur tangan luar yang tidak perlu.

Katanya, semua pihak berkepentingan, mesti memahami serta menghormati hak prerogatif Pendakwa Raya, dan mesti bertindak adil terhadap semua pihak tanpa bersikap selektif terhadap perkara-perkara tertentu.

Menurut beliau, Pendakwa Raya juga tidak terikat untuk memberikan sebarang alasan kepada mana-mana pihak terhadap keputusannya untuk menghentikan pertuduhan terhadap orang yang dituduh.

Katanya, Pendakwa Raya mempunyai hak untuk memulakan dan menghentikan pertuduhan jenayah di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Peranan Peguam Negara sebagai Pendakwa Raya ditetapkan dengan baik dan dilindungi di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Budi bicara pendakwaan untuk memulakan dan menghentikan pertuduhan jenayah adalah pelaksanaan budi bicara yang sah oleh Pendakwa Raya selepas meneliti semua keterangan yang dikemukakan oleh badan penyiasatan dan juga mengambil kira keperluan undang-undang dan prosedur,” katanya.

Sementara itu Ahmad Terrirudin berkata, kemenangan tegas negara dalam isu tuntutan Kesultanan Sulu yang membawa kepada hukuman terhadap penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa, merupakan pencapaian membanggakan Jabatan Peguam Negara (AGC). – 15 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related