Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
DNB, Mampu, MDEC diletak bawah Kementerian Digital: Fahmi | Scoop

DNB, Mampu, MDEC diletak bawah Kementerian Digital: Fahmi

MCMC pula kekal di bawah Kementerian Komunikasi

5:18 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Kabinet bersetuju beberapa agensi diletakkan di bawah Kementerian Digital bermula dengan Digital Nasional Berhad (DNB).

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, beberapa agensi lagi ialah, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) dan Cybersecurity Malaysia.

“Sebelum ini Cybersecurity diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, tetapi Perdana Menteri bersetuju ia dipindah ke Kementerian Digital supaya sektor awam dan korporat boleh bekerja bersama di bawah kementerian itu.

“Apa yang diperlukan adalah penjenamaan semula supaya tidak timbul salah faham berkait soal keselamatan digital dan ini semua akan dilakukan oleh Kementerian Digital. Ini diputuskan Kabinet hari ini bagi memindahkan DNB dan Cybersecurity,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kekal di bawah Kementerian Komunikasi.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagaimanapun kekal di bawah Kementerian Komunikasi. – Abdul Razak Latif/Scoop, 10 Januari, 2024

Katanya, Perdana Menteri bersetuju untuk membincangkan semula kedudukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) susulan rombakan Kabinet bulan lalu.

Beliau berkata, perbincangan akan diadakan selepas Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang mendapat maklum balas daripada orang ramai dan pihak berkepentingan.

“Perdana Menteri setuju untuk bincang semula, maka untuk Mitra akan diputuskan kemudian,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (Mimos) Berhad di bawah Jabatan Perdana Menteri akan dikembalikan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

“Bagaimanapun, fungsi Digital ID yang dipelopori Mimos melalui inisiatif Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) kekal sementara waktu di bawah JPM dan selepas dilaksanakan sepenuhnya bermula Mac ini, sistem itu akan dikelola Kementerian Digital.

“Bagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang sebelum ini di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan diletakkan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, manakala Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) kekal dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam,” katanya.

Mimos akan dikembalikan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, namun Digital ID yang dipelopori agensi itu sementara waktu di bawah Jabatan Perdana Menteri. – Gambar Mimos, 10 Januari, 2024

Dalam pada itu, beliau berkata, Perdana Menteri menegaskan supaya semua Jemaah Menteri mengamalkan konsep bekerja sebagai satu pasukan terutama ketika menjawab persoalan dibangkitkan di Parlimen.

“Sebagai contoh bagi isu hal ehwal Sabah dan Sarawak, yang akan menjawabnya adalah Datuk Seri Fadillah Yusof (Timbalan Perdana Menteri). Sekiranya beliau tidak boleh menjawab atau tidak berada di Parlimen, maka akan dijawab Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Datuk Ewon Benedick).

“Jika beliau tidak ada, akan dijawab oleh Menteri Perpaduan (Aaron). Jika ketiga-tiga menteri tidak ada, maka Timbalan kepada Fadillah akan menjawab,” katanya.

Fahmi berkata, berkaitan isu bencana, ia dijawab oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, namun sekiranya beliau tiada, tanggungjawab itu akan diambil alih oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Katanya, bagi isu Felda, Jemaah Menteri memutuskan supaya ia dijawab oleh Ahmad Zahid.

“Sebelum ini, isu Felda dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tetapi mesyuarat hari ini memutuskan supaya ia dijawab oleh Timbalan Perdana Menteri.

“Sekiranya beliau tidak berada di Parlimen atau tidak dapat menjawab, (isu Felda) akan dijawab oleh timbalan beliau (Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang),” katanya. – 10 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related