KUALA LUMPUR — Kenyataan dikeluarkan oleh Datuk Rosyam Nor agar rumah pelacuran untuk pekerja asing diwujudkan di negara ini disifatkan pendakwah bebas, Mohd Ridhuan Tee Abdullah sebagai cadangan yang teramat bodoh.
Selain menempelak cadangan berkenaan, Ridhuan turut mengesyorkan supaya artis-artis ‘pergi mengaji’ dan tidak menjadi jahil.
Malah, katanya, hidup ini bukan hanya memuaskan nafsu semata-mata sebaliknya bahagia mempunyai banyak cara meskipun tanpa hubungan seks.
“Jangan asyik tergambar memuaskan nafsu alat kelamin sahaja, nampak sangat otak kotor. Ini bukan penyelesaian, ini cadangan yang teramat bodoh. Saya syorkan kepada mereka ini, pergilah mengaji. Jangan jadi artis (termasuk yang lain) jahil.
“Apakah kita mahu Kuala Lumpur menjadi seperti Hatyai yang terkenal sebagai pusat maksiat, pusat pelacuran kononnya atas nama pelancongan meskipun tidak dinafikan ramai orang Malaysia yang melancong ke Hatyai.
“Tapi, kita kena ingat, sedar atau tidak, sebahagiannya pergi ke sana, bertujuan melanggan pelacur. Adakah kita mahu katakan bahawa, orang Malaysia yang pergi melanggan pelacur di sana, nafsunya tidak terlayan di sini, sehingga perlu pergi ke Hatyai untuk melanggan pelacur?
“Ini hujah bodoh. Orang sebegini memang wujud dalam masyarakat. Sebab itu kita perlu didik mereka,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Rosyam Nor telah mencetuskan kontroversi apabila pandangan peribadinya mengenai kewujudkan rumah pelacuran di negara ini dikecam ramai.
Pada padangan Rosyam, perkhidmatan itu dapat membantu mengurangkan kes rogol melibatkan warga asing yang semakin meningkat.
Menurut Ridhuan, di dalam Islam sendiri sudah ada penyelesaian iaitu jika nafsu terlalu kuat atau membuak-buak maka bagi lelaki jika mampu adalah dengan berpoligami.
Jika poligami tidak dibenarkan, katanya, pasti ada penyelesaian mengikut perspektif agama masing-masing tetapi bukan dengan membuka pusat pelacuran.
“Begitu juga penyelesaian daripada aspek pendidikan. Selain itu, kita ada undang-undang. Di negara lain pun ada undang-undang. Kuatkuasalah. Ini negara kita, kita ada cara sendiri. Orang lain datang, kena hormatlah. Sama juga kita pergi ke negara orang, kena hormat, budaya dan cara hidup masing-masing,’’ katanya. – 9 Januari, 2024