KUALA LUMPUR — Biarpun rasa tak sedap badan dan sakit tekak, namun artis versatil, Alif Satar tetap memberikan persembahan yang penuh bertenaga sewaktu menjayakan Konsert Alif Satar and The Locos di Zepp Kuala Lumpur malam Ahad lalu.
Alif sewaktu memberikan ucapan di pertengahan konsert berkata, dia sangat gembira melihat ramai penonton yang hadir.
“Saya rasa sangat gembira melihat anda semua hadir pada malam ini. Biarpun hari ini saya rasa tak sedap badan dan tekak rasa berpasir tetapi anda membuatkan saya rasa sangat bersemangat,” katanya.
Malah Alif sempat bercerita tentang momennya terlibat dalam kemalangan seminggu sebelum menjelang konsert.
“Alhamdulillah saya tak ada satu calar pun di tangan. Kalau saya cedera teruk tak dapatlah saya nak bertemu anda semua,” katanya.
Laungan azan isyak turut berkumandang di dalam dewan Zepp sebelum persembahan bermula.
Pada malam itu, Alif telah menyampaikan lagu-lagu hit solonya dan juga bersama kumpulan The Locos.
Antara lagu yang didendang adalah Akhiri Penantianku, Cukup Indah, I Want You To Love Me, Sesungguhnya Aku, Jangan Nakal, Anugerah Terindah, Lelaki Seperti Aku dan banyak lagi.
Turut ditampilkan pada konsert tersebut ialah kumpulan Raihan. Bersama Raihan, Alif telah menyampaikan lagu hit seperti Puji Pujian, Iman Mutiara, Syukur dan Sesugguhnya.
Turut diundang ialah penyanyi dari Indonesia iaitu Anggi Marito yang menjadi penyanyi pembukaan konsert tersebut.
Anggi telah menyampaikan beberapa buah lagunya termasuklah Tak Segampang Itu, Hampa, Cara Mencintaimu dan banyak lagi.
Di penghujung persembahan Alif sempat berpesan untuk bertemu dengan hampir 2,000 penonton konsert yang hadir di masjid menerusi gerakan Subuh Macam Jumaat yang dicetuskannya sehingga menjadi fenomena. – 9 Januari 2024