‘Bukan minta sumbangan tapi jual barang’, Anas Tahir nak guna duit tampung kos perubatan ibu

Anas bagaimanapun enggan mendedahkan penyakit dihidapi ibunya

Anas Tahir memaklumkan bahawa hantaran Instagramnya itu hanyalah semata-mata untuk menjual barangan dan bukannya atas tujuan lain - Gambar Instagram Anas Tahir, 8 Januari, 2024

KUALA LUMPUR – Bagi menampung kos perubatan ibunya di hospital, penyampai radio yang juga penyanyi, Anas Tahir terpaksa menjual beberapa barang kesayangannya seperti mikrofon, speaker dan helmet.

Menjual barang tersebut menerusi akaun Instagramnya, Anas berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana pembiayaan kos rawatan ibunya sudah melebihi wang simpanan mereka.

“Kosnya agar besar dan kami telahpun menyelesaikan separuh daripada itu, Insya-Allah,” katanya lagi.

Anas yang juga adik kepada penyanyi Faizal Tahir juga enggan berkongsi penyakit dihidapi ibunya itu.

“Minta tolong jangan tanya mak saya sakit apa ya. Cukup sekadar mak saya tak sihat,” jelasnya.

Anas juga memaklumkan bahawa hantaran yang dimuatnaiknya itu hanyalah semata-mata untuk menjual barangan tersebut dan bukannya atas tujuan lain.

“Bukan minta sumbangan. Jangan tanya derita mak saya okey. Doakan yang terbaik.

“Alhamdulillah, saya masih ada barangan yang boleh dilepaskan, untuk dapatkan sedikit wang. Kawan-kawan yang ada kenalan nak buka home studio, tolonglah uar-uarkan barangan dalam gambar ni okey.

“Helmet tu, Alhamdulillah dah terjual,” katanya. – 8 Januari, 2024