KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Perikatan Nasional (PN) mempunyai jumlah akuan bersumpah (SD) mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baharu.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu tidak memperincikan dakwaan tersebut termasuk jumlah SD yang diperolehi.
“Cukup dah (jumlah SD) semua, tunggu hari sahaja,” katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai SD untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Semalam, media melaporkan Pejabat Ketua Pembangkang menafikan dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada 118 Ahli Parlimen daripada PN untuk datang menghadap baginda bersama SD masing-masing.
Kenyataan didakwa dikeluarkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin seperti ditularkan di media sosial juga adalah palsu.
Kenyataan media bertarikh 6 Januari tular mendakwa PN merafak syukur kerana usaha menyelamatkan negara mendapat ihsan Seri Paduka Baginda.
Sejak kebelakangan ini, hangat diperkatakan mengenai ‘Langkah Dubai’ yang didakwa dirancang segelintir pihak untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan ‘Langkah Dubai’ tidak akan memberikan kesan kepada Kerajaan Perpaduan. – 7 Januari, 2024