Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
21 lokasi bencana dikenal pasti babitkan 7 negeri: Nanta | Scoop

21 lokasi bencana dikenal pasti babitkan 7 negeri: Nanta

21 lokasi itu membabitkan lapan jalan negeri dan 13 jalan Persekutuan di Johor, Pahang, Kelantan, Perak, Terengganu, Kedah dan Selangor

2:29 PM MYT

 

GUA MUSANG – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti 21 lokasi yang terjejas akibat bencana alam melibatkan tujuh negeri setakat Jumaat lepas, kata Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata ia membabitkan lapan jalan negeri dan 13 jalan Persekutuan di Johor, Pahang, Kelantan, Perak, Terengganu, Kedah dan Selangor.

“Empat lokasi membabitkan banjir manakala cerun runtuh (10 lokasi), jalan runtuh (empat lokasi) dan jambatan rosak atau runtuh (tiga lokasi).

“Johor mencatatkan kawasan yang paling banyak terjejas akibat bencana iaitu (enam kawasan), Pahang (empat kawasan), Kelantan dan Perak (tiga kawasan), Kedah dan Terengganu (dua kawasan) serta Selangor (satu kawasan),” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas melawat Jalan Persekutuan FT008 Seksyen 258.00 Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) dekat Paloh, di sini hari ini.

Semalam, Nanta memaklumkan KKR memperuntukkan lebih RM50 juta bagi kerja-kerja membaik pulih jalan runtuh dan rosak di seluruh negara yang terjejas semasa banjir baru-baru ini.

“Kami akan segera baik pulih di lokasi terjejas akibat bencana dengan secepat mungkin kerana ketika ini masih lagi berlaku Monsun Timur Laut, jadi kami akan buat pemantauan dan siasatan anggaran jumlah untuk dibaiki,” katanya.

Mengulas mengenai tinjauan beliau di Jalan Persekutuan FT008 Seksyen 258.00 LTU, Nanta berkata projek berkenaan telah mencapai 58 peratus kemajuan fizikal dan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Setakat ini tiada masalah besar berlaku walaupun ada beberapa lot tanah belum selesai penyerahan tetapi kami jangka ia dapat dilakukan kerana projek ini dijangka siap pada 2027,” katanya. – 7 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related