KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi menyifatkan ‘cakap-cakap’ Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kononnya wujud usaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan sebagai ‘tin kosong’.
Beliau turut mengingatkan Muhammad Sanusi bahawa sokongan lima Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat secara sukarela dan mereka juga bukan ‘dicuri’.
“Sanusi kata usaha itu (jatuhkan Kerajaan Perpaduan) ikut undang-undang. Kalau Anwar boleh ambil lima PN, tidak ada sebab PN tidak boleh ambil 10 Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan.
“Sanusi lupa, lima MP (Ahli Parlimen) Bersatu yang beralih sokongan itu bukan dicuri. Ia sukarela. Bahkan ada beberapa lagi MP Bersatu akan ikut jejak 5 MP itu. Bermakna jumlah MP PN semakin berkurangan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Mohd Puad berkata, PAS pula semakin besar kepala kerana Ahli Parlimen parti Islam itu paling ramai dalam PN.
“Sudah tentu kali ini PAS rasa layak menuntut jawatan PM (Perdana Menteri) dan jawatan senior lain. Itu punca langkah tebuk atap gagal. Cakap Sanusi hanya ‘tin kosong’,” katanya.
Terdahulu Muhammad Sanusi yakin Kerajaan Perpaduan akan tumbang namun enggan mendedahkan bila ia akan berlaku.
Malah beliau berkata, ia bukan Langkah Dubai seperti yang diperkatakan sebaliknya hal-hal tersebut berlaku sebelum itu lagi.
Bagaimanapun katanya, sepanjang pengetahuannya ada perkara yang tidak boleh didedahkan dan beliau juga tidak berhasrat melakukannya.
“Ada orang kata, bukan Langkah Dubai, Langkah Chow Kit sahaja, sebab bincang di Kuala Lumpur. Saya rasa Dubai itu ‘dummy’ sahaja sebab mereka nak pergi jalan ke sana.
“Ia adalah benda demokrasi dan tidak mustahil dan saya nampak ia akan berlaku dan kalau boleh bulan ini, minggu ini pun okey.
“Saya tahu bila akan berlaku, tapi tak boleh habaq (maklumkan). Benda ini sedang berlaku. Siapa yang tidur tak lena boleh ambil ubat di rumah saya,’’ katanya.
Kenyataan Sanusi itu turut ditempelak Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang meminta pemimpin itu untuk menumpukan pembangunan di Kedah dan tidak perlu sibuk merangka pelan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan. – 5 Januari, 2024