KUALA LUMPUR – Penyanyi, Khai Bahar tidak dapat menahan emosi apabila seorang individu tidak bertanggungjawab menuduh dia menyambut tahun baharu dengan kawan-kawan ‘songsang’ di Pulau Langkawi sehingga mengaitkan arwah ibunya, Rosnah Mohd yang baru sahaja dikebumikan dua hari lalu.
Menafikan tuduhan tersebut, Khai dalam kenyataannya berkata, dia bercuti ke Langkawi bersama kawan-kawan kampungnya yang sudah dikenalinya sejak bertahun-tahun lama dan bukan seperti apa yang didakwa individu berkenaan.
“Cukuplah tu, aku pergi dengan kawan-kawan baik yang aku dah kenal bertahun-tahun lama. Bukan sambut tahun baharu saja, tapi sambut hari jadi sekali.
“Dah rancang, kawan-kawan kampung lama aku, jangan sampai memfitnah. Kalau tak boleh bagi aku happy, jangan bagi aku sedih dengan apa yang jadi semua ini. Jangan nak salahkan aku apa yang jadi,” katanya dalam satu perkongsian terbaharu di Instagram.
Khai turut memuat naik kenyataan individu berkenaan: “Teguran untuk Khai Bahar. Arwah mak nak yang terbaik untuk Khai. Cukuplah bergaul dengan geng gb. Saya tahu Khai pergi pulau Khai celebrate Tahun Baru dengan siapa”.
Jelas Khai, ramai yang meminta dia mengabaikan tuduhan atau dakwaan sebegini.
“Ya, sebelum ini aku tak pernah langsung peduli orang nak kata atau caci maki aku. Tak pernah tau. Tak pernah langsung! Malah, sebelum ini ada yang lebih dahsyat.
“Aku sekarang tengah sakit, syurga aku dah takde. Tapi, bila nak kaitkan pasal arwah mak aku, aku sedih. Aku kenal diri aku siapa, kau tak kenal aku. Tak kenal kawan-kawan aku, jaga aib masing-masing. Kalau tak boleh sokong aku, jangan caci-caci aku, kawan-kawan aku.
“Aku maafkan kau, aku pun minta maaf dekat siapa saja kalau aku pernah buat silap. Dosa aku dengan Allah, aku tanggung. Mungkin, esok lusa aku dah tak ada, baru kau boleh berhenti cari salah aku,” tegasnya.
Khai yang mengakui reda dengan pemergian ibunya itu bersyukur kerana mempunyai orang yang di sekelilingnya yang menyokong dan memberi kekuatan buat dirinya.
“Arwah mak aku pergi dengan baik, aku reda dengan pemergian dia. Sekarang aku cuma ada keluarga aku, kawan-kawan aku yang konon terpaling itu ini serta penyokong-penyokong aku. Terima kasih untuk semua ni, sebab mereka semua aku kuat,” tambahnya. – 5 Januari, 2024