Mierul Aiman pasang impian bintangi filem biopik

Menurutnya, watak untuk naskah biopik paling mencabar kerana perlu melakonkan watak figura sebenar

Menurut Mierul atau nama sebenarnya Mohammad Amirul Aiman Norazman, seandainya diberikan peluang, dia mengidam melakonkan watak ahli sukan - Gambar Instagram, 4 Januari, 2024

KUALA LUMPUR – Pelakon yang semakin meningkat naik, Mierul Aiman memasang impian untuk bergelar pelakon filem satu hari nanti dan ingin berlakon dalam filem bergenre biopik.

Menurut Mierul atau nama sebenarnya Mohammad Amirul Aiman Norazman, 26, watak dalam filem biopik paling mencabar kerana perlu melakonkan watak figura sebenar.

“Naskhah yang paling susah untuk seorang pelakon adalah biopik. Contoh seperti filem Bohemian Rhapsody, Elvis dan sebagainya.

“Naskhah ini menceritakan mengenai realiti kehidupan seorang ikon dan dilakonkan oleh pelakon lain.

“Saya tahu mungkin agak sukar tetapi kalau kita berdoa, berharap dan bekerja keras insya-Allah akan diberikan peluang,” kata ketika ditemui di ‘viewing party’ episod akhir drama bersiri W: Two Worlds.

Selain filem bergenre biopik, Mierul juga merasakan dirinya sesuai untuk melakonkan filem aksi yang mempunyai misi – Gambar Instagram, 4 Januari, 2024

Ditanya mengenai watak figura yang ingin dilakonkan seandainya diberikan peluang, kata pemenang Hero Remaja 2021 itu, dia mengidam melakonkan watak ahli sukan.

“Sebenarnya ramai, tetapi mungkin watak ahli sukan seperti sukan ragbi dan sebagainya. Mungkin juga watak tokoh hebat yang kita boleh jadikan filem,” katanya.

Selain filem bergenre biopik, Mierul juga merasakan dirinya sesuai untuk melakonkan filem aksi yang mempunyai misi.

“Saya percaya genre yang paling dekat dengan diri saya adalah aksi. Saya sukakan genre aksi kerana kita boleh tonjolkan pelbagai emosi. Kalau marah kita kena betul-betul marah, sedih kena betul-betul sedih.

“Kalau boleh saya ingin berlakon filem yang menceritakan satu misi kerana dalam filem sebegini kita boleh tonjolkan pelbagai emosi dan sisi lakonan,” ujarnya. – 4 Januari, 2024