Fasha Sandha muntah-muntah, netizen buat spekulasi isteri Aidil Aziz itu sudah berbadan dua

Disebabkan muntah-muntah, Fasha juga kehilangan berat badan sebanyak dua kilogram

Saat menjayakan penggambaran drama bersiri, Malang Si Puteri, Fasha Sandha telah mengalami muntah-muntah sehingga kehilangan berat badan sebanyak dua kilogram, namun netizen membuat spekulasi pelakon jelita ini mungkin sedang berbadan dua. - Gambar Instagram Aidil Aziz, 4 Januari, 2024

KUALA LUMPUR – Pelakon Fasha Sandha bukan sahaja dikenali sebagai seorang anak seni yang cukup berdisiplin sewaktu bekerja dan sentiasa berada di lokasi penggambaran tepat pada waktunya.

Barangkali disebabkan terlalu kuat bekerja dan tidak cukup rehat, Fasha mengalami simptom muntah-muntah sejak dua tiga hari yang lalu.

Insiden itu berlaku ketika Fasha sedang sibuk menjayakan penggambaran drama bersiri, Malang Si Puteri terbitan Radius One.

Perkara itu dikongsikan oleh suami tercintanya, Aidil Aziz menerusi video pendek yang dimuat naik di Instagramnya.

Menurut Aidil, anak-anak mereka turut terkesan dan berasa sedih apabila melihat keadaan Fasha yang sebegitu.

“Badan Fasha lemah dan dia juga kehilangan dua kilogram berat badan,” katanya.

Disebabkan itu kata Aidil, Fasha terpaksa mendapatkan rawatan dengan memasukkan air ke dalam badannya dan dia juga turut diberikan ubat.

“Rawatan itu dilakukan bagi memastikan dia dapat pulih sepenuhnya sebelum masih ke set lokasi penggambaran.

“Nampak macam dah ada perubahan. Dah boleh buat mini love. Alhamdulillah,” katanya.

Dalam video itu juga, Fasha nampaknya sudah boleh makan seperti biasa.

“Makan dulu isi perut sebelum masuk ke set shooting Malang Si Puteri,” katanya.

Rata-rata pengikut Aidil mendoakan agar Fasha cepat sembuh, namun ada juga yang membuat spekulasi dengan mengatakan Fasha kemungkinan sedang berbadan dua.

Apapun, mujurlah Fasha dapat suami yang penyayang seperti Aidil yang cukup mengambil berat tentang keadaan dirinya sama ada waktu sedang sihat atau sakit.

Malang Si Puteri adalah drama siri terbaharu lakonan Fasha Sandha selaku teraju utama bersama Hafrez Adam, Malek Mccrone, Wan Raja serta  Aidit Noh.

Sewaktu diwawancara Scoop mengenai penglibatannya di dalam drama ini, Fasha berkata, sepertimana tajuknya, dia telah diberikan peranan untuk membawakan watak sebagai puteri yang malang.

“Walaupun saya dah berusia tapi masih lagi diberi kepercayaan untuk membawakan watak sebagai puteri. Nasibnya malang kerana dia terpaksa meringkuk di dalam penjara kerana hukuman membunuh dan ketika berada di dalam penjara, dia menceritakan semula apa yang telah terjadi kepada dirinya.

“Watak ini ada persamaan dengan watak Natasha yang pernah saya bawakan dalam drama Natasha pada 2005 dan saya ambil tawaran ini kerana wataknya berat dan ia memerlukan saya banyak menangis kerana nasibnya sangat-sangat malang.

“Ceritanya memang best dan saya percaya ia akan menjadi hit. Sebab bila saya berpeluang baca skripnya buat pertama kali, naluri saya memberitahu ceritanya ini memang boleh jadi fenomena,” katanya.

Diarahkan Uchee Fukada, drama 50 episod ini membariskan pelakon lain seperti Fahrin Ahmad, Laila Nasir, Shahronizam Noor, Ani Maiyuni dan Raja Azura. Penggambarannya bakal selesai Februari ini dan ia juga akan ditayangkan di saluran Astro Ria. – 4 Januari, 2024