Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Padu akan terus berjalan, terima maklum balas pengguna: Ketua Perangkawan | Scoop

Padu akan terus berjalan, terima maklum balas pengguna: Ketua Perangkawan

Padu dibuka kepada orang ramai sehingga 31 Mac ini bagi mengemaskini serta mengesahkan 39 item maklumat peribadi seperti nombor kad pengesahan, bilangan isi rumah dan alamat

5:18 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Proses pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (Padu) tidak akan ditangguh, sebaliknya akan terus berjalan dan ditingkatkan berdasarkan maklum balas pengguna.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pihaknya berterima kasih kepada pengguna yang berterusan memberi maklum balas termasuk soal keselamatan sistem itu.

“Buat masa ini sistem akan terus berjalan dengan menerima maklum balas pengguna.

“Soalan lazim (FAQ) berkait sebarang masalah, pertanyaan lanjut mengenai Padu juga sudah ditingkatkan, terima kasih kepada pengguna atas maklum balas,” katanya kepada Scoop hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas saranan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Ong Kian Ming supaya kerajaan menangguhkan proses pendaftaran sistem Padu buat sementara waktu, sehingga beberapa kelemahan keselamatan diatasi.

Beliau mendakwa, langkah itu perlu kerana wujud kecacatan dalam sistem pendaftaran Padu, termasuk memerlukan pengguna mengisi maklumat sama yang sudah tersedia dalam pangkalan data sistem berkenaan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin Majlis Peluncuran Padu. Katanya, soalan lazim (FAQ) berkait sebarang masalah, pertanyaan lanjut mengenai Padu juga sudah ditingkatkan, terima kasih kepada maklum balas pengguna – Azim Rahman/Scoop, 3 Januari, 2024

Terdahulu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menerusi aplikasi X rasminya hari ini berkata, tiada kelemahan dikesan dalam pengendalian pengesahan semasa Security Posture Assessment (SPA) menggunakan nombor MyKad membabitkan pendaftaran sistem Padu.

Beliau turut menyenaraikan beberapa isu berbangkit berkaitan pendaftaran Padu, dengan memaklumkan sudah mengambil tindakan segera berhubung isu berbangkit mengenai Padu menerusi usaha penyelesaian dilaksanakan dalam tempoh satu jam malam tadi.

Malah, Kementerian Ekonomi di aplikasi X memaklumkan, pihaknya sentiasa memantau maklum balas di luar.

“Kami sedang melakukan penambahbaikan yang diperlukan. Terima kasih di atas komen yang kami nilai sebagai satu kritikan positif,” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, bagi memastikan kelangsungan Padu, tiga perkara utama keterjaminan keselamatan Padu diambil kira dalam pembangunan sistem berkenaan, iaitu daripada aspek keselamatan data, sistem dan rangkaian.

“Bagi memastikan Kerahsiaan Data terjamin, Lapisan Kawalan Akses Capaian Data (RBAC) sudah diwujudkan. Data Padu juga dilindungi dengan Penyulitan Data end-to-end serta membangunkan dokumen kawalan keselamatan data sebagai panduan dan amalan semua ahli pasukan.

“Sistem ini juga memenuhi ciri-ciri keselamatan digariskan di peringkat antarabangsa, antaranya Open Worldwide Application Security Project (OWASP Top 10), National Institute of Standards and Technology (NIST), Open Source Security Testing Methodology Manual (OSSTMM), Center for Internet Security (CIS) Benchmark.

Rafizi Ramli berkata, tindakan telah diambil untuk isu berbangkit mengenai Padu menerusi usaha penyelesaian dilaksanakan dalam tempoh satu jam malam tadi – Azim Rahman/Scoop, 3 Januari, 2024

“Bagi memastikan rangkaian sistem Padu selamat, sistem ini dilengkapi dan mematuhi Web Application Firewall dan mempunyai Security Operation Centre (SOC).

“Sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini, Padu melalui Pasukan Tindak Balas Insiden Keselamatan Siber Sektor Awam (CSIRT) bersiap siaga mengendalikan melalui prosedur sepatutnya,” katanya.

Padu dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam dari tiga agensi utama iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang membabitkan kerjasama semua agensi lain.

Sistem itu yang diluncurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dibuka kepada orang ramai sehingga 31 Mac ini bagi mengemaskini serta mengesahkan 39 item maklumat peribadi seperti nombor kad pengesahan, bilangan isi rumah dan alamat.

Semua rakyat yang berumur 18 tahun ke atas boleh mendaftar dan membuat semakan data di portal Padu mulai semalam hingga 31 Mac ini. – 3 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related