Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Kg Sg Baru: Penduduk berharap Dr Zaliha selesaikan kebimbangan mereka daripada diusir | Scoop

Kg Sg Baru: Penduduk berharap Dr Zaliha selesaikan kebimbangan mereka daripada diusir

Pemilik rumah di kawasan penempatan Melayu itu menaruh harapan tinggi, susulan Dr Zaliha menyelesaikan isu Kg Setia Jaya

9:11 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dengan ancaman pengusiran berterusan dihadapi pemilik tanah di Kg Sg Baru yang menjadi sebahagian daripada projek pembangunan semula dilaksanakan pihak swasta sehingga mencetuskan perbalahan, penduduk kawasan itu menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa supaya segera menyelesaikan masalah mereka.

Bercakap kepada Scoop, Johari Zakaria, iaitu seorang penduduk yang menyambut baik pelantikan Dr Zaliha berkata, beliau percaya perubahan positif boleh dimiliki pemilik di bawah kepimpinan pemimpin itu.

Mengulas mengenai isu dihadapi penduduk Kg Setia Jaya baru-baru ini dan cara Dr Zaliha menanganinya, beliau berkata, ia memberi harapan bahawa tindakan sama boleh diambil untuk pemilik kediaman yang menetap di Kg Sg Baru.

Baru-baru ini, Dr Zaliha mengadakan sesi perbincangan dengan wakil Yayasan Pendidikan TARC; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berhubung isu tanah Kg Setia Jaya dalam usaha menyelesaikan masalah pemindahan dihadapi rakyat yang terjejas akibat pengusiran.

Dr Zaliha Mustafa memberi harapan kepada penduduk Kg Sg Baru selepas mengadakan perbincangan dengan wakil Yayasan Pendidikan TARC, Ahli Parlimen Wangsa Maju dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin baru-baru ini. – Azim Rahman/Scoop, 31 Disember, 2023

“Pelantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) adalah satu rahmat kepada penduduk Kg Sg Baru. Dr Zaliha cepat menangani isu Kg Setia Jaya, jadi saya yakin beliau boleh melakukan perkara sama untuk Kg Sg Baru.

“Kita ingin tahu apakah status memorandum yang sebelum ini dihantar Jawatankuasa Bertindak Rumah Teres dan Pemilik Flat Kg Sg Baru kepada Perdana Menteri. Apakah langkah seterusnya? Adakah menteri sedar isu di Kg Sg Baru?

“Beliau tidak boleh mengelak daripada menangani isu kami kerana Kg Sg Baru adalah kawasan di bawah bidang kuasa beliau sebagai menteri. Jika beliau membenarkan Ahli Parlimen Titiwangsa (Datuk Seri Johari Abdul Ghani) menangani masalah penduduk, perkara itu tidak akan selesai,” kata Johari, 57.

Scoop menghubungi Dr Zaliha dan Azman untuk mendapatkan ulasan mengenai perkara itu.

Terletak tidak jauh dari Jambatan Saloma Link dan stesen LRT Kg Baru, Kg Sg Baru terdiri daripada 98 rumah teres pegangan pajak dan 264 unit flat di lapan blok.

Daripada jumlah hartanah di atas tanah itu, 27 rumah teres dan 192 unit flat menerima tawaran daripada pemaju hartanah swasta, Ritzy Gloss Sdn Bhd.

Terletak tidak jauh dari Jambatan Saloma Link dan stesen LRT Kg Baru, Kg Sg Baru terdiri daripada 98 rumah teres pegangan pajak dan 264 unit flat di lapan blok. – Omar Alif/Scoop, 31 Disember, 2023

Sementara itu, berikutan kelulusan diberikan kepada Ritzy Gloss ketika pentadbiram Perikatan Nasional (PN) supaya kerajaan mengambil alih secara rasmi tanah di kawasan itu di bawah Akta Pengambilan Tanah (LAA) 1960, sebanyak 37 rumah teres dan 72 unit flat terpaksa dipindah milik pada 2021.

Pemilik hartanah mempertikaikan perkara itu, memandangkan nisbah keluasan tanah mereka lebih tinggi, undi mereka dalam perkara itu harus diutamakan berbanding pemilik flat di perumahan strata.

Johari melahirkan kebimbangan mengenai kurangnya tempoh masa yang jelas untuk penduduk mengosongkan kediaman mereka, sebagai persediaan untuk projek pembangunan semula dilaksanakan Ritzy Gloss.

“Isu utama di Kg Sg Baru adalah sama dengan bantahan penduduk Kg Setia Jaya berhubung pampasan yang tidak mencukupi.

“Selain itu, proses pengambilan tanah di Kg Sg Baru tidak dijalankan mengikut prosedur operasi standard yang betul.

“Dr Zaliha mesti tahu kenapa penduduk Kg Sg Baru berat hati untuk meninggalkan rumah mereka, ia bukan kerana kami berdegil, tetapi kami tidak ditawarkan pampasan adil,” katanya.

Johari juga berharap Dr Zaliha terbuka untuk mendengar pandangan daripada semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan.

Pada 2 November, Scoop melaporkan bahawa Johari Ghani menggesa kerajaan untuk segera memulakan projek pembangunan semula yang terhenti, mengulangi dakwaan bahawa majoriti penduduk di kawasan itu bersetuju untuk meneruskannya.

Beberapa hari kemudian, katanya, beliau dimaklumkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada Oktober bahawa projek itu yang dimulakan pada 2016, tidak akan ditangguhkan lagi.

Selepas menjadi Perdana Menteri, Anwar menangguhkan projek itu pada Januari lalu, sementara menunggu rundingan dengan penduduk dan pihak berkepentingan.

Lele Suzana yang mempengerusikan jawatankuasa bertindak penduduk mendedahkan satu pemaju telah menyatakan minat untuk mengambil alih projek pembangunan semula dan menawarkan pampasan yang lebih tinggi. – Alif Omar/Scoop, 31 Disember 2023

Pada 29 Oktober, pengerusi jawatankuasa bertindak Lele Suzana mendedahkan bahawa pemaju yang berminat untuk mengambil alih projek di Kg Sg Baru, bersetuju memberikan pampasan RM950 sekaki persegi kepada pemilik rumah teres dan flat, angka yang jauh lebih tinggi daripada RM450 sekaki persegi, seperti penilaian yang ditetapkan Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta.

Pampasan itu akan diberikan kepada pemilik tanah yang rumah mereka diwartakan di bawah LAA, kediaman mereka tidak diwartakan dan penduduk yang menerima tawaran awal Ritzy Gloss.

Dalam sidang akhbar pada 8 November, Lele berkata, beliau bersama bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, bertemu Anwar pada hari sebelumnya untuk mendapatkan bantuannya bagi memastikan rundingan antara Ritzy Gloss dan pemaju yang berminat untuk mencapai kata putus, demi manfaat semua penduduk.

Menyedari bahawa Anwar nampaknya sedia mendengar isu penduduk semasa mesyuarat itu, Lele menggesa Perdana Menteri membuat keputusan segera bagi mengelakkan masalah tambahan yang dihadapi penduduk Kg Sg Baru.

Sebelum ini, pakar kerajaan tempatan, Derek Fernandez memberitahu Scoop bahawa Seksyen 3(1)(c) LAA yang digunakan kerajaan untuk mengambil alih tanah Kg Sg Baru, mesti dibaca bersama seksyen lain perundangan untuk perintah pengusiran. berdaya maju di sisi undang-undang.

Kegagalan berbuat demikian, katanya, akan menimbulkan keraguan sama ada penduduk terpaksa mematuhi notis pengusiran yang dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah Kuala Lumpur dalam pelbagai kesempatan, yang terbaru mengarahkan pemilik tanah mengosongkan kediaman mereka menjelang 19 Oktober.

Setiausaha politik Anwar, Azman juga memberitahu Scoop bahawa, memandangkan pemilikan kerajaan ke atas tanah di kawasan itu mengikut LAA, notis pengusiran akan dikeluarkan mengikut prosedur standard.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kepada penduduk bahawa tiada tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mereka yang memilih untuk tinggal di rumah mereka.

Scoop juga sebelum ini bercakap dengan penduduk Kg Sg Baru, Khalid, dan peguam yang mewakili jawatankuasa bertindak mengenai isu-isu yang berlaku di kawasan itu. – 31 Disember 2023

Topics

 

Hangat

Related