Tabung Bantulah Fiza sudah cecah RM40,000, terima kasih rakyat Malaysia: Presiden WHAM

Sumbangan itu sudah disalurkan terus ke akaun suami Allahyarham, Mohd Roshdi Ramli

Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin (gambar kecil) berkata, Tabung Bantulah Fiza yang dilancarkan WHAM bagi membantu wartawan hiburan, Siti Nor Hafiza Kamarudin telah mencecah RM40,585.34. - Gambar Facebook, 31 Disember, 2023

KUALA LUMPUR – Tabung Bantulah Fiza yang dilancarkan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) bagi membantu wartawan hiburan, Siti Nor Hafiza Kamarudin, 40, yang meninggal dunia di Hospital Charing Cross, London telah pun mencecah RM40,585.34.

Presidennya, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, sumbangan sudah disalurkan terus ke akaun suami Allahyarham, Mohd Roshdi Ramli, 40, yang masih lagi berada di sana untuk menguruskan jenazah arwah.

“Kami sangat bersyukur, hanya dalam masa 48 jam selepas dilancarkan, tabung Bantulah Fiza berjaya mencapai sasaran kutipan yang diperlukan bagi kos membawa pulang jenazah ke tanah air.

“Penderma adalah terdiri dalam kalangan rakan media, rakan-rakan artis dan orang ramai. Mereka ini bersama-sama memberi sumbangan sebagai tanda prihatin dan turut berdukacita atas pemergian arwah yang sebelum ini banyak memberi sumbangan kepada dunia penulisan seni dan hiburan tanah air.

“Seluruh keluarga WHAM merakamkan berbanyak terima kasih di atas keprihatinan semua. Setelah sasaran mencukupi, tabung Bantulah Fiza yang dianjurkan oleh WHAM ditutup,” katanya.

Menurut Khalidah lagi, pihak keluarga masih menunggu dokumen kematian daripada pihak hospital bagi proses membawa pulang jenazah.

Kerjasama daripada pihak Kedutaan Malaysia di London dan sahabat media di sana menjadikan segala urusan Allahyarham dan keluarganya berjalan dengan baik.. – Gambar Facebook, 31 Disember, 2023

“Suami arwah ada memaklumkan kepada saya mungkin pada Selasa atau Rabu depan, baru dokumen kematian dikeluarkan.

“Memandangkan ketika ini ramai petugas sedang bercuti bagi sambutan Krismas, urusan mendapatkan dokumen kematian akan mengambil sedikit masa.

“Selepas dokumen kematian diperolehi, ia akan disusuli urusan dengan pihak syarikat pengurusan jenazah di sana, diikuti urusan dengan syarikat penerbangan bagi membawa jenazah ke Malaysia,” katanya.

Kata Khalidah lagi, kerjasama daripada pihak Kedutaan Malaysia di London dan sahabat media di sana menjadikan segala urusan Allahyarham dan keluarganya berjalan dengan baik.

“Suami dan dua anak arwah yang kini masih berada di London juga mendapat bantuan daripada pelbagai pihak, termasuk Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

“Pengawai media beliau juga berjaya mendapatkan tajaan penginapan sementara untuk keluarga arwah di sana, sementara menanti penerbangan pulang ke tanah air yang dijangka hanya dapat dilakukan pada minggu depan,” katanya.

Fiza adalah pengarang portal Boom Malaysia sebelum ini pernah berkhidmat dengan beberapa syarikat media antaranya Sinar Harian, RTM dan portal Astro Gempak.

Dia yang juga penghidap kanser payudara dilaporkan rebah di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow beberapa jam sebelum menaiki penerbangan pulang ke Malaysia selepas bercuti bersama keluarga dalam percutian yang ditaja.

Susulan itu, Fiza kemudian dimasukkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia pada pukul 11.30 malam (waktu Malaysia). – 31 Disember, 2023