Sejarah tercipta, juara Hero Remaja, Dewi Remaja milik Aiman Ameer dan Nurel

Naib Juara Hero Remaja 2023 pula milik Fitri dan Naib Juara Dewi Remaja 2023 berpihak kepada Arabella

Aiman Ameer (kanan) Nurel (kiri) masing-masing dinobat sebagai Hero Remaja dan Dewi Remaja 2023 mengetepikan saingan 10 peserta lain yang turut berentap di pentas akhir Hero Dewi Remaja 2023, malam tadi. - Ellyna Ali/Scoop, 30 Disember, 2023

KUALA LUMPUR – Pencarian Hero Dewi Remaja 2023 berakhir apabila bekas pramugara, Aiman Ameer, 23, dan pelajar jurusan teater, Nurel, 21 dinobat sebagai Hero dan Dewi Remaja 2023, sekali gus mengetepikan saingan 10 peserta lain yang turut sama berentap di pentas akhir, malam tadi.

Kedua-dua juara tahun ini masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 berserta sebuah trofi dan Dewi Remaja 2023 turut menerima sebuah mahkota di pentas akhir yang bersiaran secara langsung dari CIDB Convention Centre, Kuala Lumpur.
 
Tracie Sinidol selaku Dewi Remaja 2022 dan Mierul Aiman selaku Hero Remaja 2021 turut hadir di pentas utama untuk memahkotakan penerus legasi kemenangan mereka.

Naib Juara Hero Remaja 2023 jatuh kepada Fitri dan Naib Juara Dewi Remaja 2023 pula berpihak kepada Arabella yang berjaya mengekalkan prestasi konsisten sepanjang tempoh pertandingan. Masing-masing menerima wang tunai bernilai RM7,000 dan sebuah trofi.

Selain muncul juara Hero Remaja, Aiman Ameer turut dinobat sebagai Hero dan Dewi Inspirasi Yaya Empire untuk membolehkannya menerima kontrak kerjasama bernilai RM20,000 berserta sebuah trofi. – – Gambar Astro, 30 Disember, 2023

Selain Juara Hero dan Dewi Remaja 2023, pemenang kategori Hero dan Dewi Inspirasi Yaya Empire pada tahun ini dimenangi Aiman Ameer dan Adrina. Masing-masing menerima kontrak kerjasama bernilai RM20,000 berserta sebuah trofi.

Menerusi hasil undian peminat di laman web REMAJA (www.remaja.my), kategori HeroFavourite dan Dewi Favourite pula disandang Razin Qidran dan Nurel manakala kategori Best Chesmistry Duo pula dimenangi Jay Iskandar dan Arabella.

Kesemua pemenang kategori ini masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 dan sebuah trofi.

Ketua Bahagian New Gen, Men & Hobbies, Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Fiezreen Ahmad berkata, sejarah tercipta pada malam finale apabila dua juara dinobatkan sekali gus, pertama kali dalam sejarah Dewi & Hero Remaja sepanjang lebih 38 tahun penganjuran.

“Pemilihan kedua-dua mereka dianggap tepat dan mampu meneruskan legasi cemerlang juara-juara sebelum ini.

“Pencarian ini bukan hanya mengiktiraf bakat yang cemerlang dan berpotensi, tetapi juga sebagai batu loncatan untuk mereka meneroka dunia seni, membina keyakinan diri dan menjadi contoh yang memberi inspirasi kepada generasi masa kini.

“Sepanjang lebih lapan minggu bertanding, kesemua 16 peserta didedahkan dengan pelbagai ilmu dan aktiviti-aktiviti kerja sosial yang memberi manfaat.

“Mereka turut diberikan peluang untuk muncul dalam program-pogram digital yang disusun secara strategik bagi memberi lebih banyak pendedahan terutamanya dalam industri seni di Malaysia,” katanya.

Nurel, pelajar jurusan teater berusia 21 tahun membawa pulang RM10,000 bersama trofi. – Gambar Astro, 30 Disember, 2023

Sementara itu Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari berkata, mereka amat berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan kesemua peserta Hero dan Dewi termasuk barisan juri dan panel jemputan yang terlibat sama dalam menjayakan Hero Dewi Remaja 2023 ini.

“Kami berharap apa yang mereka pelajari daripada rancangan ini dapat diterapkan dalam apa jua bidang yang diceburi kelak.

“Pihak Astro juga telah merangka beberapa pelan dan initiatif, bukan sahaja tertumpu pada juara, malah untuk kesemua 16 peserta agar dapat diketengahkan dan menempa nama di dalam industri tempatan selepas rancangan ini,” katanya.

Pada malam finale Hero Dewi Remaja 2023, peserta dinilai barisan juri berpengalaman iaitu Scha Alyahya selaku juri tetap dan mentor rancangan ini bersama dua juri jemputan, Datuk Aznil Hj Nawawi dan Datuk Yusry Abdul Halim.

Pencarian Hero Dewi Remaja 2023 yang memasuki edisi ke-13 dan bersiaran selama lapan episod di Astro Ria ini dianjurkan oleh Nu Ideaktiv dengan kerjasama Astro sebagai penyiar rasmi. – 30 Disember, 2023