Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Benarkan Iskul Sama Dilaut Omadal beroperasi demi hak pendidikan kanak-kanak: Suhakam | Scoop

Benarkan Iskul Sama Dilaut Omadal beroperasi demi hak pendidikan kanak-kanak: Suhakam

Pengoperasian itu penting bagi menangani jurang pendidikan golongan terbabit, selain selaras komitmen negara untuk memastikan setiap individu mendapat pendidikan berkualiti serta tiada siapa tercicir daripada aspek berkenaan

11:52 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berharap sekolah komuniti Bajau Laut di Semporna, Sabah yang dinamakan Iskul Sama Dilaut Omadal dibenarkan beroperasi, susulan peranan pentingnya dalam menangani jurang pendidikan kanak-kanak di negeri berkenaan.

Menerusi kenyataannya, Suhakam berkata, meskipun wujud bantahan terhadap penubuhan Iskul Sama DiLaut Omadal, pihaknya teguh menyokong pusat pembelajaran alternatif di Pulau Omadal itu kerana ia demi masa depan kanak-kanak.

Katanya, Suhakam turut menegaskan komitmennya terhadap hak pendidikan untuk semua kerana ia adalah asas kemanusiaan dan perkembangan setiap individu.

Meskipun wujud bantahan terhadap penubuhan Iskul Sama DiLaut Omadal, Suhakam teguh menyokong pusat pembelajaran alternatif di Pulau Omadal itu kerana ia demi masa depan kanak-kanak. – Gambar Facebook, 28 Disember, 2023

“Sejajar dengan pembaharuan MoU tiga pihak mengenai Isu Tanpa Kewarganegaraan di Sabah, Suhakam, Komisi Nasional Hak Asasi Manusia Indonesia (Komnas HAM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Filipina (CHRP) melawat pusat itu pada 8 September lalu.

“Suhakam sudah membuat pemerhatian secara langsung mengenai kepentingan usaha Iskul Sama Dilaut Omadal dalam memberikan pendidikan asas kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.

“Menyedari peranan penting Iskul Sama Dilaut Omadal dalam menangani jurang pendidikan, pejabat Suhakam Sabah mengadakan mesyuarat pada November lalu untuk meneroka langkah sokongan agar sekolah ini dapat terus beroperasi, selain permohonan mereka untuk didaftarkan sebagai pusat bimbingan alternatif (PBA) dapat diluluskan,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, lanjutan daripada perkara di atas serta komitmen kerajaan terhadap Agenda Matlamat Pembangunan Mampan 2030 agar tiada kanak-kanak ketinggalan dalam mendapatkan pendidikan berkualiti, Suhakam menyeru agar kerjasama dapat diperkukuh antara Kementerian Pendidikan (KPM), pemimpin masyarakat tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
dan pihak berkepentingan berkaitan bagi menangani keperluan pendidikan kanak-kanak Pulau Omadal, tanpa mengira latar belakang mereka.

Menurutnya, Suhakam yakin bahawa ruang yang selamat untuk kanak-kanak mendapat akses pendidikan akan menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat.

Usaha ke arah tiada diskriminasi terhadap akses kepada pendidikan, katanya, penting untuk semua kanak-kanak di Malaysia dan Suhakam sentiasa bersedia untuk bekerjasama, selain membantu kerajaan untuk menangani perkara itu.

Suhakam menyeru agar kerjasama dapat diperkukuh antara Kementerian Pendidikan (KPM), pemimpin masyarakat tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan berkaitan bagi menangani keperluan pendidikan kanak-kanak Pulau Omadal, tanpa mengira latar belakang mereka. – Gambar Facebook, 28 Disember, 2023

“Suhakam juga memuji penubuhan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) yang bertujuan menyediakan akses kepada pendidikan sama rata untuk semua golongan muda, termasuk kanak-kanak tercicir, jalanan dan tanpa dokumen di Sabah.

“Justeru, kami berharap SBJK yang sedia ada dapat diperuntukkan dengan kemudahan bersesuaian agar kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan inklusif berkualiti dan saksama,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Facebook Iskul Sama DiLaut Omadal berkongsi kenyataan 67 pertubuhan sivil dan 20 individu berkepentingan yang mendesak kerajaan menyokong dan melindungi ruang pendidikan selamat bagi kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Pulau Omadal.

Desakan itu susulan kira-kira 38 orang wakil penduduk tempatan di pulau berkenaan membantah pengoperasian sekolah komuniti itu.

Pertubuhan berkenaan mendesak kerajaan memastikan pusat bimbingan itu dapat beroperasi tanpa diugut, selain keselamatan guru di situ terjamin.

Malah, ia menekankan kepentingan dialog dan persefahaman tanpa intimidasi serta ancaman.

Bagaimanapun, KPM menerusi kenyataan menegaskan, penentuan pengoperasian Iskul Sama Dilaut Omadal memerlukan perbincangan lanjut dengan kementerian dan agensi kerajaan berkaitan.

KPM berkata, perbincangan itu bagi mendapatkan pandangan pihak berkenaan, sebelum tindakan lanjut sama ada membenarkan atau sebaliknya pengoperasian pusat bimbingan itu ditentukan.

Jelasnya, perbincangan itu termasuk membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pasukan Kawasan Ke­selamatan Pantai Timur Sabah (Esscomm), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Persatuan Pendidikan Bajau, katanyq, sudah mengemukakan permohonan penubuhan institusi pendidikan itu dalam kategori pusat bimbingan alternatif (PBA) kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah pada 30 Oktober lalu. – 28 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Related