KUALA LUMPUR – Susulan siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap hartawan dan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin, laporan polis dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Julai 1999 yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri tersebar di media sosial.
Laporan polis dibuat Anwar yang ketika itu dipenjarakan menyatakan Daim melakukan rasuah dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ‘menyembunyikannya’.
Menurut salinan laporan polis dilihat Scoop, Anwar kemudian mendakwa Dr Mahathir melindungi Daim daripada SPRM walaupun pemimpin itu didakwa menerima wang tunai dan saham bernilai jutaan ringgit.
“Pada 14 April 1999, ketika memberi keterangan di mahkamah, saya merujuk kepada beberapa amalan rasuah utama oleh pemimpin negara.
“Saya merujuk kepada surat daripada tiga tokoh korporat yang ditujukan kepada Daim yang juga Menteri Kewangan ketika itu yang jelas membuktikan beliau menerima wang tunai dan saham bernilai jutaan ringgit.
“(Bekas) Perdana Menteri Dr Mahathir bukan sahaja menghentikan sebarang tindakan (daripada diambil) tetapi terus menutup ‘rasuah besar’ yang dilakukan Daim sejak menjadi menteri kewangan pada awal penggal beliau.
“Malah sehingga kini, saya memaklumkan bahawa tiada siasatan sama ada oleh polis atau Badan Pencegah Rasuah (BPR) (sebelum nama agensi ini ditukar kepada SPRM)
“Dengan ini (laporan), saya menyertakan dokumen yang disahkan untuk membuktikan rasuah iaitu tiga surat yang ditulis oleh Tan Sri Halim Saad, Tan Sri Tajuddin Ramli dan Tan Sri Wan Azmi Hamzah,” katanya dalam laporan itu.
Anwar menyatakan menerusi laporan itu juga, dalam surat bertarikh 30 April 1990, ia tertulis bahawa beliau sebagai pemegang amanah memegang 52,208,500 saham dalam Faber Merlin Bhd (harga saham pada RM1) dan 130,000,000 saham dalam Renong Bhd (harga saham pada 50 sen) bagi pihak Daim.
“Beliau (Halim) mengesahkan bahawa saham yang dinilai itu dipegang di bawah Daim atau arahan penamanya,” katanya.
Pada masa ini, Halim, bekas pengerusi eksekutif Kumpulan Renong sedang dalam proses tuntutan saman terhadap Dr Mahathir, bekas menteri kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan Malaysia yang difailkan pada 2 Ogos.
Surat sama yang dikeluarkan Tajuddin dan Wan Azmi masing-masing pada April dan Mei 1990, setiap daripada mereka memegang wang tunai RM70 juta dan RM150 juta bagi pihak Daim.
Tajuddin pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines antara 1994 hingga 2001 manakala Wan Azmi pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Maybank pada tahun 80-an.
Menurut petikan laporan Bernama pada 1999, Anwar menyatakan beliau “agak pasti” bahawa jumlah yang disebut mewakili hanya sebahagian kecil daripada kekayaan yang diperoleh Daim melalui dakwaan perbuatan rasuahnya.
“Saya mempunyai maklumat bahawa sebahagian besar daripada kekayaan itu datang dalam bentuk saham Resorts World, pusat perjudian yang berpangkalan di Genting Highlands, penyenaraian awam yang diluluskan oleh Daim sejurus sebelum beliau melepaskan jawatan sebagai Menteri Kewangan pada 1991,” kata Anwar.
Anwar seterusnya mendakwa Daim menggunakan kedudukannya dalam kerajaan untuk menguntungkan dirinya sendiri.
“Bagaimana pula dengan syarikat-syarikat lain? Saya percaya melalui kaedah sedemikian, Daim dengan restu Dr Mahathir berjaya mengaut berbilion ringgit,” tambahnya.
Dalam laporan itu, Anwar turut mendakwa beliau mendapat maklumat bahawa Hati Budi Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan Umno, telah dilupuskan kepentingannya oleh dua penama – iaitu Halim dan Datuk Anuar Othman.
Anuar pernah berkhidmat sebagai pengarah eksekutif di Hati Budi sebelum pengambilalihan United Engineers (M) Bhd (kini dikenali sebagai UEM Group Bhd) dan Renong Group.
“Difahamkan 400 juta saham milik Anuar yang disebut sebagai amanah Umno sebaliknya diarah Daim untuk dipindahkan kepada United Engineers dan Halim.
“Apabila saya melaporkan isu itu kepada Dr Mahathir pada 1996, beliau berkata Daim akan menguruskannya dan mengarahkan saya tidak campur tangan dalam perkara itu.
Anwar seterusnya berkata selepas mendedahkan perkara itu, Daim segera mendakwa semasa perhimpunan agung Umno 1999 bahawa wang dan saham daripada tiga tokoh korporat itu bertujuan untuk tabung Umno.
“Setahu saya, berdasarkan bukti surat itu, dan daripada akaun dan maklumat daripada majlis tertinggi parti atau semasa perhimpunan agung Umno, tiada apa-apa mengenai kepentingan parti dibangkitkan,” katanya.
Anwar seterusnya mendakwa tindakannya membangkitkan perkara itu semasa masih dalam parti dan kerajaan telah menimbulkan kemarahan Dr Mahathir dan ketakutan dalam kalangan kroni termasuk Daim.
“Hanya orang korup, yang ada kepentingan bersama, akan terus melindungi rasuah berbilion ringgit.
“Daripada maklumat yang diberikan, terbukti jenayah rasuah dan pecah amanah bernilai berbilion ringgit telah dilakukan.
“Saya juga sedar tanggungjawab besar polis dan BPR untuk menyiasat dan bertindak. Rasuah telah menjadi barah, berpunca dari pihak atasan dan merebak ke bawah.
“Ia memerlukan ketegasan dan keberanian untuk bertindak sebelum negara dimusnahkan oleh mereka,” tambahnya dalam laporan itu.
Menurut Bernama, salinan fotostat laporan itu diedarkan kepada pemberita pada sidang media oleh isteri Anwar dan ketika itu Presiden Parti Keadilan Nasional (kini PKR) Datuk Seri Wan Azizah Ismail di kediaman lama mereka di Bukit Damansara, di sini.
Sebelum pilihan raya umum ke-15 tahun lalu, Anwar, selaku ketua pembangkang ketika itu, memberi bayangan bahawa Daim tidak akan tidur lena jika dia menjadi perdana menteri.
Bercakap semasa kongres nasional PKR pada Julai 2022, Anwar berkata Daim adalah orang terakhir yang mahu melihat beliau dilantik sebagai perdana menteri.
Presiden PKR itu menegaskan perkara ini, terutamanya sejak beliau mengambil alih kementerian kewangan daripada Daim pada 1990-an.
Khamis lalu, Menara Ilham di Jalan Binjai di sini telah disita oleh SPRM susulan siasatan terhadap kewangan Daim sejak Mei lalu berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana awam pada 1990-an.
Siasatan itu kembali kepada tempoh ketika Daim menjadi menteri kewangan, dan apabila kerajaan, di bawah perdana menteri ketika itu Dr Mahathir, telah menyelia pengambilalihan “terpaksa” saham sebuah syarikat penyenaraian awam yang kemudiannya menyebabkan pasaran saham menjunam.
Ia berlaku ketika krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dan digelar sebagai penyelamat beberapa tokoh perniagaan yang berkait rapat dengan kerajaan ketika itu.
Daim juga dilaporkan sedang disiasat berhubung maklumat kekayaannya seperti yang dibocorkan Kertas Pandora 2021, yang memperincikan nama-nama hartawan terkenal yang terlibat dalam urus niaga di pusat kewangan luar pesisir.
Anwar pada Februari lalu telah mengarahkan agensi seperti SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri meneruskan siasatan ke atas nama besar yang disebut dalam Kertas Pandora tersebut. – 26 Disember 2023