Salah mahu penduduk dunia tidak melupakan penderitaan Palestin di sebalik sambutan Krismas

Ucapan beliau di Instagram mengundang pelbagai reaksi termasuk mengecamnya kerana ucapan perayaan itu.

Hantaran yang dimuat naik Mohamed Salah dalam media sosialnya mengundang pelbagai reaksi daripada peminat. - Instagram Mohamed Salah, 26 Disember, 2023

KUALA LUMPUR – Bintang Liverpool, Mohamed Salah meminta peminat dan penduduk dunia supaya tidak melupakan penderitaan dan kesengsaraan yang kini dialami penduduk Palestin khususnya di Gaza ekoran kekejaman rejim zionis.

Mesej tersebut ditulis beliau dalam akaun Instagram miliknya sempena sambutan Krismas, semalam.

Sambil meletakkan gambar pokok Krismas dalam tona hitam putih, beliau mahu semua pihak tidak ‘membiasakan diri’ dengan penderitaan warga Palestin.

“Krismas adalah masa apabila keluarga berkumpul dan meraikannya. Dengan kekejaman yang berlaku di Asia Barat terutamanya kematian dan kemusnahan di Gaza, tahun ini kita menyambut perayaan itu dengan hati yang sangat berat.

“Dan kita berkongsi, merasai keperitan dialami keluarga mereka (penduduk Palestin) yang bersedih kehilangan orang tersayang. Tolong jangan lupakan mereka,” katanya.

Dengan lebih satu juta tanda ‘likes’, ucapan krismas oleh Salah itu turut mengundang kecaman pelbagai pihak.

Namun tak kurang mereka yang menyokong Salah kerana keprihatinannya terhadap penderitaan Gaza. – 26 Disember, 2023