KUALA LUMPUR – Prestasi kakitangan sektor awam di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan sepanjang tahun ini daripada aspek tahap pencapaian, mutu kecekapan dan produktiviti menyaksikan peningkatan besar serta sangat memuaskan.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, malah pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung prestasi golongan pekerja terbabit, sekali gus menunjukkan perubahan positif kepada penggiat sektor itu.
“Untuk tahun ini tiada sebarang aduan diterima dan Cuepacs sangat berpuas hati dengan kualiti produktiviti ditunjukkan penjawat awam. Tiadalah nak kata 100 peratus berpuas hati, tapi dalam 90 peratus itu sudah cukup baik.
“Saya berharap mereka dapat meningkatkan lagi produktiviti agar perjalanan sektor perkhidmatan awam akan bertambah baik di bawah pemerintahan kerajaan Madani,” katanya kepada Scoop.
Berkongsi lanjut, Abdul Rahman berkata, pada tahun terdahulu, banyak aduan diterima daripada masyarakat mengenai prestasi kerja badan beruniform membabitkan kakitangan kerajaan.
Namun, katanya, masalah itu dapat diatasi selepas pelbagai seminar dan kursus diadakan bagi membantu penjawat awam mempertingkatkan kualiti layanan serta perkhidmatan kepada orang ramai.
“Kalau dahulu, kami selalu dapat aduan melibatkan anggota polis, anggota imigresen dan petugas di hospital dan klinik, tapi sekarang boleh kata memang kami dah tidak terima sebarang komen buruk mengenai pihak terbabit.
“Setiap tahun memang ada pelbagai kursus serta seminar dianjurkan bagi mempertingkatkan lagi kualiti serta mutu kerja penjawat awam, agar ia dapat memberikan kepuasan maksimum kepada pelanggan, iaitu masyarakat.
“Tapi bagi saya kadang-kadang mereka (penjawat awam) buat kerja (dengan baik) tapi rakyat ini ada sahaja yang tidak berpuas hati, ini saya bercakap berdasarkan pengalaman lalu, sekarang masyarakat dah semakin memahami kerja penjawat awam,” katanya.
Abdul Rahman berkata, kecekapan dan kemahiran penggunaan teknologi maklumat dalam kalangan penjawat awam, turut menjadi antara faktor produktiviti semakin bertambah baik dari tahun ke tahun.
Katanya, ketika ini, penjawat awam juga banyak dipelopori generasi ‘milenial’ dan generasi Z yang kebanyakannya memang mahir dalam bidang teknologi maklumat (IT).
Beliau berkata, ia juga antara faktor yang meningkatkan lagi kecekapan mereka dalam melakukan tugas.
“Diharapkan perkembangan ini akan terus dipertingkatkan agar kualiti kerja penjawat awam sentiasa dipandang tinggi masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh berkata, prestasi kakitangan awam semakin menunjukkan perubahan positif dan langkah penambahbaikan boleh dilakukan mengikut keperluan semasa untuk terus menjamin pencapaian berkenaan.
Walaupun terdapat beberapa salah laku membabitkan pegawai di beberapa jabatan kerajaan seperti dilaporkan media, hal itu tidak sepatutnya dijadikan sebagai penanda ukur terhadap kualiti perkhidmatan awam yang semakin baik.
“(Dalam mana-mana organisasi/jabatan) ketua mesti menunjukkan contoh baik.
“One bad apple does not make the whole basket bad (seorang individu yang teruk dalam satu pasukan tidak bermaksud semua yang lain juga bermasalah) dan fish begins rotting at the head (pemimpin yang teruk akan menyebabkan prestasi organisasi merosot),” katanya.
Menurut Wan Mahmood, setiap kementerian perlu diterajui golongan profesional yang layak berdasarkan merit Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), bukannya mereka yang hanya sekadar ‘pak turut’ atau ‘yes man’ kepada mana-mana individu berkepentingan.
“Setiap kementerian perlu dikepalai golongan profesional dilantik JPA, bukannya pihak yang hanya mengikut telunjuk dan akur semata-mata kepada kemahuan pihak tertentu,” katanya. – 25 Disember, 2023