Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
SPRM sita Menara Ilham, urusan masih berjalan seperti biasa | Scoop

SPRM sita Menara Ilham, urusan masih berjalan seperti biasa

Tinjauan petugas-petugas media di Menara Ilham mendapati operasi di menara berkenaan berjalan lancar, malah tiada kelibat anggota SPRM di situ

2:12 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Meskipun telah disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Menara Ilham di Jalan Binjai, kini menjadi tumpuan media.

Tinjauan petugas-petugas media di situ mendapati operasi di menara berkenaan berjalan lancar, malah tiada kelibat anggota SPRM di situ.

Kakitangannya juga dapat memasuki ke Menara Ilham seperti biasa.

Malah seorang kakitangan di Menara Ilham berkata walaupun notis rampasan dikeluarkan SPRM, ia masih “berniaga seperti biasa”.

“Tiada komen. Tetapi ia adalah perniagaan seperti biasa,” kata kakitangan yang tidak dinamakan itu berkata ringkas.

Sementara itu, Bernama melaporkan seorang pekerja sebuah syarikat yang berpejabat di bangunan itu mendakwa tidak menerima sebarang arahan daripada syarikatnya sama ada perlu menghentikan operasi.

“Tetapi sebentar lagi mungkin syarikat (pihak atasan) akan adakan mesyuarat untuk berbincang tentang langkah seterusnya yang perlu diambil terutamanya dari segi keselamatan.

“Semua rakan sekerja saya terkejut bila mendapat tahu tentang bangunan ini disita. Kami tahu pun daripada berita semalam,” katanya yang enggan dikenali kepada pemberita di perkarangan bangunan Menara Ilham hari ini.

Rakannya, yang juga enggan dikenali berkata pada minggu lepas, beliau melihat beberapa anggota polis berada di hadapan bangunan itu, namun beliau tidak berasa pelik dengan situasi berkenaan.

Semalam, SPRM telah menyita bangunan Menara Ilham di sini pada Isnin lepas dipercayai berkaitan kes penyelewengan dana negara berjumlah lebih RM2.3 bilion membabitkan tokoh korporat dan bekas menteri kanan, Tun Daim Zainuddin.

Bangunan itu, yang turut menempatkan pejabat tokoh korporat berkenaan, disita di bawah Akta SPRM 2009.

Malah penyitaan harta tak alih bertarikh 18 Disember 2023 itu disiarkan dalam ruangan notis pemberitahuan sebuah portal berita dalam talian semalam.

Nenurut notis ditandatangani oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib itu, Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan diarah untuk menyita bangunan Menara Ilham yang mempunyai alamat di No. 8, Jalan Binjai di sini.

Arahan itu dikeluarkan di bawah Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009 [Akta 694] dan Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah setelah berpuas hati dengan maklumat yang diberikan oleh pegawai agensi antirasuah berkenaan.

Channel News Asia melaporkan, penyitaan bangunan itu malam tadi dan menamakan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin sebagai sasaran selepas SPRM memulakan siasatan ke atas pegangan kewangannya pada Mei.

Mei lalu, SPRM dilaporkan sedang menyiasat seorang tokoh korporat berhubung kes penyelewengan dana negara bernilai lebih RM 2.3 bilion.

Siasatan itu adalah kesinambungan dan lanjutan daripada pendedahan dokumen sulit oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Siasatan itu dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – 22 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Related