Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Dakwaan air berkarbonat boleh diuji positif Covid-19 tidak boleh dipercayai: MDA | Scoop

Dakwaan air berkarbonat boleh diuji positif Covid-19 tidak boleh dipercayai: MDA

Kaedah ujian yang disahkan dan mengikut panduan profesional penjagaan kesihatan serta pihak berkuasa kesihatan awam amat penting apabila melibatkan ujian Covid-19

1:33 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Tiada bukti kukuh bagi menyokong dakwaan bahawa air berkarbonat boleh diuji positif Covid-19 menggunakan kit ujian kendiri penyakit itu, kata Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) P. Muralitharan.

Beliau berkata cecair selain sampel yang disebutkan dalam arahan penggunaan kit ujian kendiri Covid-19 mempunyai sifat kimia yang boleh menyebabkan tindak balas kimia pada jalur ujian dan mengakibatkan keputusan tidak tepat, tidak sah serta mengelirukan.

“Menggunakan minuman berkarbonat sebagai sampel untuk pengujian Covid-19 bukanlah kaedah saintifik yang sah atau boleh dipercayai.

“Ini kerana, minuman berkarbonat mengandungi pelbagai sebatian dan bahan, tetapi ia tidak mengandungi komponen virus atau bahan genetik tertentu yang direka bentuk untuk dikesan oleh kit ujian ini,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, pemilik akaun media sosial X, @meinmokhtar telah membuat ciapan mengenai dakwaan terbabit, namun ciapan berkenaan telah dipadam.

Muralitharan berkata semua kit ujian kendiri COVID-19 hanya menggunakan sampel air liur atau calitan hidung dan tekak sahaja, bukannya menggunakan sampel air, sebarang makanan atau cecair lain.

“Jika kit ujian kendiri digunakan dengan betul, ia mampu membantu kita mengesan Covid-19 dan mengekang penularan wabak ini,” katanya.

Beliau berkata kaedah ujian yang disahkan dan mengikut panduan profesional penjagaan kesihatan serta pihak berkuasa kesihatan awam amat penting apabila melibatkan ujian Covid-19.

“Sebarang penyebaran maklumat yang salah dengan menyalahgunakan peranti perubatan yang disengajakan semasa penularan Covid-19 adalah tidak bertanggungjawab dan membahayakan kesihatan awam,” katanya. – 22 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Related